
KUALA LUMPUR, 16 Februari – Ringgit mengukuh berbanding dolar AS pada sesi pembukaan dagangan pada Isnin, didorong oleh momentum positif berikutan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2025 sebanyak 6.3 peratus yang lebih baik daripada jangkaan diumumkan pada Jumaat lepas, kata penganalisis.
- Ringgit mengukuh pada pembukaan dagangan, didorong oleh momentum positif selepas KDNK suku keempat 2025 meningkat 6.3 peratus.
- OPR dijangka dikekalkan pada 2026 kerana tiada keperluan mendesak merangsang ekonomi, dengan jurang kadar faedah terhadap Fed menyempit.
- Ringgit menguat berbanding kebanyakan mata wang utama dan ASEAN, dijangka melepasi paras psikologi RM3.9000 terhadap dolar AS.
Pada 8 pagi, ringgit dibuka mengukuh kepada 3.8970/9190 berbanding dolar AS daripada 3.9060/9155 semasa ditutup pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata unjuran rasmi KDNK terkini bagi 2026 antara 4.0 peratus dan 4.5 peratus dijangka disemak semula kepada paras lebih tinggi dengan mengambil kira daya tahan ekonomi negara dalam ketidaktentuan luaran.
“Ini bermakna Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan dikekalkan pada 2026 berikutan tiada keperluan mendesak untuk memacu ekonomi secara berlebihan,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata jurang kadar faedah antara kadar dana Rizab Persekutuan (Fed) AS dan OPR akan menjadi kecil berikutan Fed dijangka melonggarkan pendekatan dasar monetarinya pada tahun ini.
Oleh itu, katanya kadar pertukaran ringgit–dolar dijangka sekali lagi melepasi paras psikologi RM3.9000 hari ini.
Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.6242/6503 daripada 4.6325/6390 semasa ditutup pada Jumaat lepas dan naik berbanding pound kepada 5.3178/3479 daripada 5.3211/3286, bagaimanapun merosot berbanding yen Jepun kepada 2.5501/5648 daripada 2.5435/5474.
Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0860/1042 daripada 3.0904/0950 dan melonjak berbanding baht Thailand kepada 12.5273/6200 daripada 12.5607/5849.
Ringgit turut naik berbanding rupiah Indonesia kepada 231.4/232.8 daripada 231.9/232.4 semasa ditutup pada Jumaat lepas dan tinggi berbanding peso Filipina kepada 6.71/6.76 daripada 6.73/6.74 sebelum ini.- BERNAMA