
JOHOR BAHRU, 19 Januari– Kerajaan Johor menarik pelaburan RM1.27 billion daripada Rianlon Corporation untuk membina pusat penyelidikan dan pembangunan, serta kilang pengeluaran moden di Tanjung Langsat, Johor Bahru.
- Pelaburan RM1.27 bilion oleh Rianlon Corporation untuk pusat R&D dan kilang pengeluaran di Tanjung Langsat.
- Fasa pertama RM820 juta untuk bahan kimia kosmetik; fasa kedua RM450 juta untuk produk pelincir.
- Projek dijangka wujudkan kira-kira 300 peluang pekerjaan, dengan kerjasama latihan melalui JTDC.
Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri, Lee Ting Han berkata, pelaburan daripada syarikat China itu dijalankan dalam dua fasa.
Fasa pertama melibatkan pelaburan RM820 juta bagi menghasilkan bahan kimia untuk produk kosmetik seperti pelindung suria (sunscreen) dan produk anti-penuaan.
Manakala fasa kedua, membabitkan pelaburan RM450 juta ringgit bagi menghasilkan produk pelincir.
“Projek ini dijangka menawarkan kira-kira 300 peluang pekerjaan terutamanya untuk rakyat Johor apabila beroperasi sepenuhnya. Kita telah pun memulakan perbincangan dengan syarikat juga di peringkat JTDC Johor Talent Development Council untuk kita adakan kerjasama penempatan dan latihan,” jelas beliau selepas Majlis Pecah Tanah Rianlon Corporation di Taman Perindustrian
Tanjung Langsat di Pasir Gudang, Johor Bahru.
Rianlon adalah penyedia global bahan tambahan dan teknologi anti-penuaan untuk bahan polimer.