
KUALA LUMPUR, 13 Mac -Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) kekal optimis terhadap prospek pasaran hartanah negara pada 2026 walaupun ketegangan geopolitik global terus mencetuskan kebimbangan terhadap sentimen ekonomi dan kos pembinaan.
- Masih terlalu awal untuk menilai kesan konflik geopolitik terhadap pasaran hartanah tempatan.
- Pengukuhan ringgit, kestabilan OPR dan persekitaran politik menyokong pasaran.
- Ketegangan yang memuncak berpotensi menaikkan kos tenaga, bahan binaan dan logistik.
- Pemain industri perlu utamakan pengurusan kos, aliran tunai dan operasi sambil memenuhi permintaan rumah mampu milik serta pembangunan perindustrian.
Presidennya Datuk Ir Ho Hon Sang berkata, setakat ini masih terlalu awal untuk menilai kesan sebenar konflik berkenaan terhadap pasaran hartanah tempatan, namun setakat ini sektor itu dilihat masih stabil tanpa tanda jelas berlakunya kemerosotan dalam kadar jualan hartanah.
“Pengukuhan ringgit, kestabilan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus seperti diputuskan Jawatankuasa Dasar Monetari serta persekitaran politik yang stabil, antara faktor yang terus menyokong pasaran hartanah ketika ini.
“Walaupun harga jualan dan kos pembinaan meningkat, kenaikan itu dilihat masih boleh diuruskan,” katanya dalam sidang media Tinjauan Industri Hartanah Separuh Kedua 2025 serta Prospek Pasaran 2026 di Wisma Rehda, Kelana Jaya.
Tambahnya, walaupun terdapat tanda optimisme terhadap pasaran pada 2026, perkembangan konflik di Asia Barat dijangka memberi kesan kepada sentimen global termasuk Malaysia.
Tinjauan tersebut mendapati 42.6 peratus responden menjangkakan impak sederhana daripada konflik geopolitik berterusan, manakala 29.6 peratus lagi menjangkakan impak yang signifikan terhadap sektor berkenaan di Malaysia.
Menurutnya, jika ketegangan terus memuncak, antara kesan yang berpotensi dirasai termasuk kenaikan kos tenaga, bahan binaan dan logistik.
Justeru, pemain industri perlu memberi tumpuan kepada pengurusan kos, aliran tunai dan operasi syarikat secara lebih berhemah.
Pada masa sama, beliau berkata pasaran hartanah negara pada 2026 dijangka akan terus didorong permintaan bagi segmen rumah mampu milik, hartanah berharga sederhana, kediaman bertanah serta pembangunan perindustrian.