
KUALA LUMPUR, 18 Februari – Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Belia Malaysia–China 2.0 dilihat selari dengan agenda ekonomi kerajaan dalam memperkukuh pembangunan modal insan berkemahiran tinggi.
- Program TVET Malaysia–China 2.0 tingkatkan mobiliti antarabangsa untuk sedia tenaga kerja menyokong pelaburan berimpak tinggi.
- Pindaan dasar dan pengiktirafan pensijilan profesional tingkatkan kebolehpasaran graduan TVET dan pendapatan tenaga kerja.
- Tumpuan kepada sektor strategik seperti EV, E&E dan semikonduktor sejajar NIMP 2030 bagi tarik pelaburan teknologi tinggi.
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (BELIA MAHIR), Mohammad Rizan Hassan berkata pendekatan mobiliti TVET antarabangsa yang dilaksanakan bukan sekadar menyediakan latihan kemahiran, sebaliknya merupakan strategi ekonomi bagi memastikan tenaga kerja tempatan bersedia menyokong pelaburan berkualiti tinggi.
Menurut beliau, program mobiliti itu memberi nilai tambah kepada bakat tempatan selain menjadi pemangkin perubahan landskap TVET negara, khususnya dalam melahirkan tenaga kerja yang memenuhi keperluan industri berimpak tinggi.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Malaysia–China Youth TVET 2.0, baru-baru ini.
Tambahnya, penambahbaikan dasar termasuk pindaan Akta Pembangunan Kemahiran yang mengiktiraf pensijilan profesional mencerminkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET serta tahap pendapatan tenaga kerja.
Katanya, tumpuan latihan dalam sektor strategik seperti automotif, kenderaan elektrik (EV), elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor adalah sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Dasar TVET Negara 2030 yang menekankan pembangunan industri bernilai tinggi.
Beliau turut menegaskan, pelaburan hampir RM8 bilion dalam sektor TVET membuktikan kesungguhan kerajaan memastikan tenaga kerja tempatan mampu memenuhi keperluan industri dan menarik pelaburan berteknologi tinggi, sekali gus menyumbang kepada peningkatan produktiviti nasional serta pertumbuhan ekonomi yang mampan.