Prestasi Pelaburan 2025: Harapan warga akademik pasaran kerja diperluas

Foto Arkib BERNAMA

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan mencecah RM426.7 bilion bagi tahun 2025 dengan beberapa sektor utama seperti perkhidmatan dan perkilangan menjadi penyumbang utama berpotensi mewujudkan 244,902 peluang pekerjaan baharu buat rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Warga akademik dan mahasiswa sambut baik peningkatan pelaburan sebagai pemangkin kepada kualiti hidup dan masa depan graduan.
  • Pelaburan dijangka wujudkan peluang pekerjaan baru yang padan dengan kelayakan universiti, mengurangkan pekerjaan sambilan yang tidak sepadan.
  • Kenaikan pendapatan isi rumah meningkatkan kuasa beli dan menyokong kitaran ekonomi negara pada peringkat mikro.
  • Generasi muda lebih berpeluang membina kerjaya lebih baik, meningkatkan taraf ekonomi dan status sosial keluarga.

Pencapaian tersebut disambut baik warga akademik dan mahasiswa, sekali gus menjadi pemangkin kepada kualiti hidup rakyat dan keterjaminan masa depan graduan.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Psikologi Universiti Malaya (UM), Dr. Faizanah Abdul Alim Sidique menjelaskan, peningkatan pelaburan itu akan mencetuskan “kesan domino” yang positif kepada ekonomi pada peringkat mikro, selain mewujudkan pekerjaan baharu bagi meningkatkan pendapatan isi rumah.

“Apabila pendapatan meningkat, kuasa beli atau keupayaan berbelanja rakyat juga akan bertambah baik, sekali gus memberi impak positif kepada kitaran ekonomi negara,” jelas beliau.

Beliau turut menyentuh nasib graduan universiti yang kini terpaksa bekerja sebagai pekerja sambilan atau pemandu e-hailing kerana kekurangan peluang kerja yang sesuai dengan kelayakan mereka.

“Kita berharap dengan kemasukan pelaburan baharu ini, akan ada lebih banyak peluang pekerjaan yang padan dengan sijil universiti mereka. Ini penting bagi meningkatkan status sosial setiap rakyat Malaysia,” tambahnya.

Sementara itu, Pentadbir Asrama UM, Mohd Hairolnezam Kahmis berpandangan bahawa, dengan peningkatan prestasi pelaburan tersebut banyak graduan yang akan memperoleh peluang pekerjaan.

“Bila wujudnya peluang-peluang pekerjaan yang baru secara tidak langsung akan memberi peluang lebih kepada generasi muda, khususnya untuk mendapatkan kerjaya yang lebih baik dan dapat meningkatkan taraf ekonomi mereka dan taraf hidup mereka,” ujarnya.

Mahasiswa UM, Azizul Azeem turut berpendapat, berita peningkatan pelaburan itu adalah satu kelegaan bagi mahasiswa.

“Saya rasa berita baru ini adalah berita baik untuk rakyat Malaysia kerana pelaburan dalam negara sudah meningkat. Jadi saya rasa ini memberi peluang kepada pekerja terutamanya di sektor industri dan sektor perkhidmatan untuk mendapatkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada graduan,” katanya.