PNB tolak tawaran pengambilalihan sukarela IJM oleh Sunway

PNB tolak tawaran Sunway ambil alih saham IJM / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Permodalan Nasional Bhd (PNB) memutuskan untuk tidak menerima tawaran pengambilalihan sukarela bagi pegangan 13.5 peratusnya dalam IJM Corporation Bhd oleh Sunway Corporation Bhd.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jawatankuasa Pelaburan PNB membuat keputusan selepas penilaian teliti, menyeluruh dan bebas.
  • Keputusan dipandu tanggungjawab fidusiari untuk bertindak demi kepentingan terbaik pemegang unit PNB.
  • Pertimbangan termasuk nilai intrinsik saham berbanding harga tawaran, komponen tunai terhad dan potensi kenaikan nilai saham baharu.
  • Penasihat bebas IJM mengesyorkan pemegang saham menolak tawaran Sunway, menyifatkannya tidak adil dan tidak munasabah.

PNB berkata keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Pelaburan Lembaga Pengarah PNB (BIC) selepas penilaian teliti, menyeluruh dan bebas yang dilaksanakan sepenuhnya, selaras dengan proses pelaburan serta rangka kerja tadbir urus PNB.

”Penilaian tersebut dibuat berdasarkan pertimbangan komersial serta dipandu oleh tanggungjawab fidusiari kami untuk sentiasa bertindak demi kepentingan terbaik pemegang unit PNB, selaras dengan tujuan dan mandat kami,” kata pengurus dana terbesar negara itu.

Jelasnya, pertimbangan tersebut merangkumi beberapa faktor, antaranya anggaran nilai intrinsik asas saham IJM berbanding harga tawaran, komponen tunai yang terhad dalam tawaran tersebut serta anggaran potensi kenaikan nilai saham yang akan diterbitkan berbanding harga terbitannya.

Pertimbangan turut diberikan kepada prospek dividen IJM serta potensi penciptaan nilai jangka panjang syarikat itu, berdasarkan kedudukannya sebagai pelabur institusi jangka panjang.

“Ia bukan bertujuan mempengaruhi atau menetapkan jangkaan untuk keputusan pemegang saham IJM yang lain harus membuat keputusan.

”Semua pemegang saham IJM perlu membuat penilaian bebas masing-masing,” jelas PNB.

PNB berkata pihaknya ingin menegaskan bahawa penilaian pasaran IJM sejak sekian lama tidak mencerminkan nilai asas sebenar syarikat tersebut.

“Sehubungan itu, tanpa mengira keputusan tawaran pengambilalihan sukarela, kami jangka lembaga pengarah dan pengurusan IJM akan mengutamakan usaha untuk merealisasikan nilai tersebut demi manfaat semua pemegang saham.”

Pada 12 Januari lalu, Sunway mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk memperoleh kesemua 3.51 bilion saham IJM pada harga tawaran RM3.15 sesaham.

Ia melibatkan jumlah pertimbangan kira-kira RM11 bilion yang akan diselesaikan melalui gabungan tunai serta penerbitan saham biasa baharu Sunway.

Jumaat lalu, penasihat bebas IJM menyatakan bahawa tawaran pengambilalihan oleh Sunway pada harga RM3.15 sesaham adalah tidak adil dan tidak munasabah, serta mengesyorkan pemegang saham menolak tawaran tersebut.