
KUALA LUMPUR, 29 Januari – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menyasarkan untuk mengekalkan pengeluaran domestik sekitar dua juta tong minyak sehari dalam tempoh tiga tahun akan datang.
- Petronas sasarkan mengekalkan pengeluaran domestik sekitar dua juta tong sehari melalui pelaburan penerokaan dan pembangunan laut dalam.
- Inisiatif penyahkarbonan kluster BIGST dilaksanakan untuk mempercepatkan hala tuju sifar bersih menjelang 2050.
- Fokus pada kecemerlangan operasi, pengembangan bahan kimia khusus, biofuel, dan inovasi produk seperti Iona untuk kenderaan elektrik.
Menurut Syarikat minyak dan gas nasional itu, usaha berkenaan akan dilaksanakan menerusi pelaburan berterusan dalam aktiviti penerokaan, pembangunan laut dalam dan pemulihan minyak dipertingkatkan.
Menerusi Tinjauan Aktiviti bagi tempoh 2026-2028, Petronas menjelaskan projek pengoptimuman sumber daripada beberapa aset pengeluaran terus memainkan peranan kritikal dalam menyokong keselamatan tenaga Malaysia.
”Di samping itu, mewujudkan permintaan berterusan terhadap perkhidmatan teknikal serta penyelesaian inovatif daripada rakan sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE).
”Pada masa yang sama, inisiatif penyahkarbonan di bawah kluster BIGST (Bujang, Inas, Guling, Sepat dan Tujoh) sedang dilaksanakan bagi mempercepatkan hala tuju Petronas ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” menerusi kenyataan itu.
Memandangkan jangkaan tekanan margin dan ketidaktentuan berterusan dalam segmen hiliran, firma itu akan memberi keutamaan kepada kecemerlangan operasi, daya tahan rantaian bekalan serta kepelbagaian produk.
Pada masa sama, mempergiat pengembangan dalam bahan kimia khusus dan ‘biofuel’, dengan sebuah loji penapisan bio disasar memulakan operasi pada separuh kedua 2028.
“Tinjauan sama turut menekankan inovasi produk baru seperti bendalir pintar terma Petronas Iona untuk kenderaan elektrik dan Iona Tera bagi penyejukan pusat data, yang direka untuk memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang seiring peralihan global ke arah kelestarian,” menurut kenyataan itu lagi.
Laporan itu turut mengetengahkan kemajuan di bawah penyelesaian tenaga bersih Petronas menerusi Gentari yang kini mencapai kapasiti tenaga boleh diperbaharui global melebihi 8.5 gigawatt.