
KUALA LUMPUR, 31 Mac – Petronas akan terus memantau rapat bekalan bahan bakar bagi memastikan kestabilan di seluruh negara, susulan krisis berterusan di Asia Barat.
- Kenaikan harga minyak hampir 40 peratus meningkatkan kos perkapalan, premium insurans dan logistik, menjejaskan keselamatan bekalan bahan bakar.
- PETRONAS menggerakkan anak syarikat dan rantaian nilai bersepadu untuk memastikan bekalan petrol dan diesel mencukupi, sambil baki disediakan oleh syarikat lain.
- Kerajaan memberi subsidi RON95 dan diesel; PETRONAS gesa penggunaan tenaga lebih cekap dan larang pembelian panik atau penyorokan bahan bakar.
Syarikat minyak dan gas itu dalam satu kenyataan memaklumkan, walaupun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, Kuala Lumpur tidak sepenuhnya terlindung daripada impak krisis tersebut.
Jelas firma itu, hampir 40 peratus keperluan minyak mentah negara melalui Selat Hormuz.
”Sejak tercetusnya krisis, harga minyak mentah juga telah meningkat hampir 40 peratus.
”Susulan itu, kos perkapalan global, premium insurans dan logistik berkaitan penghantaran turut meningkat dengan ketara.
Semua perkembangan tersebut memberi kesan kepada keselamatan bekalan bahan bakar negara.
Sementara itu dari segi produk, permintaan dalam negara terus melebihi bekalan domestik.
Bagi menangani kekurangan tersebut, PETRONAS memanfaatkan rantaian nilai bersepadunya dengan menggerakkan anak-anak syarikat untuk memastikan bekalan petrol dan diesel mencukupi.
Usaha tersebut bagi menyokong pegangan pasaran hampir 50 peratus sehingga Mei 2026.
Jelas kenyataan sama, baki bekalan akan disediakan oleh syarikat minyak lain yang beroperasi di Malaysia.
Petronas turut memaklumkan, walaupun berdepan tekanan global, kerajaan menyediakan subsidi bagi RON95 dan diesel untuk mengurangkan beban rakyat, sekali gus menjadikan harga bahan bakar dalam negara antara yang terendah di rantau ini.
”PETRONAS akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan dan pihak berkepentingan bagi mengurus sebarang potensi gangguan serta mengutamakan keselamatan tenaga dan kesejahteraan negara.
”Memandangkan tempoh dan skala penuh konflik di Iran masih tidak menentu, PETRONAS menggesa penggunaan tenaga yang lebih cekap dalam kalangan industri dan orang awam,” jelas kenyataan tersebut.
Syarikat itu turut menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan pembelian panik atau menyorok bahan bakar kerana tindakan tersebut boleh memburukkan lagi kesan krisis.
<<CK>>