Pertumbuhan KDNK dijangka 4.5% pada 2026 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 20 Januari Ekonomi Malaysia dijangka terus berdaya tahan pada 2026, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan sekitar 4.5 peratus.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertumbuhan KDNK 2026 dijangka disokong oleh permintaan domestik yang stabil dan inflasi terkawal.
  • Momentum pelaburan berterusan, melibatkan pusat data serta sektor kimia dan logam asas.
  • Penggunaan swasta dijangka menyumbang sekitar 60 hingga 70 peratus kepada pertumbuhan.
  • Pasaran buruh berkembang positif dengan pengangguran rendah; BNM cenderung mengekalkan OPR semasa.

Ahli Ekonomi dan Penganalisis FX Standard Chartered untuk Asia, Jonathan Koh, berkata pertumbuhan itu disokong oleh permintaan domestik yang stabil, inflasi terkawal serta momentum pelaburan yang berterusan.

“Perubahan utama berbanding 2025 adalah dari sudut pelaburan. Momentum pusat data dijangka berterusan, dan komitmen pelaburan asing kini lebih meluas, bukan hanya tertumpu kepada sektor elektrik dan elektronik (E&E).

”Data terkini menunjukkan pelaburan turut melibatkan sektor kimia, logam asas dan lain-lain, yang mencerminkan kepelbagaian pelaburan yang lebih kukuh”, katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Tinjauan Global dan Malaysia Standard Chartered untuk Separuh Pertama 2026, di sini hari ini.

Tambahnya, penggunaan swasta dijangka menyumbang kepada pertumbuhan yang stabil, sekitar 60 hingga 70 peratus.

Manakala, pasaran buruh diramal terus berkembang positif dengan kadar pengangguran kekal pada yang rendah, disokong penyertaan tenaga buruh yang tertinggi.

”Kadar inflasi diramal kekal terkawal sekitar 1.7 peratus berbanding unjuran awal kami pada 2.3 peratus.

”Bank Negara Malaysia (BNM) pula diunjur mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) semasa pada 2.75 peratus berikutan ketidaktentuan tarif global masih menjadi faktor kepada risiko pertumbuhan yang rendah,” katanya.