Pertumbuhan ekonomi negara rekod pencapaian tertinggi sejak 2022

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin. Foto/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Februari – Ekonomi Malaysia terus membuktikan daya tahannya apabila mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.3 peratus pada suku keempat 2025, berbanding 5.4 peratus pada suku sebelumnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertumbuhan KDNK suku keempat 2025 meningkat kepada 6.3 peratus, menunjukkan momentum ekonomi kukuh.
  • Pertumbuhan tahunan 2025 naik kepada 5.2 peratus, melebihi prestasi 2024.
  • Pendorong utama: permintaan domestik kuat, pelancongan, perbelanjaan sekolah dan perayaan serta pelaburan berterusan.
  • Pusat data berkembang, menguatkan subsektor utiliti dan ICT, eksport serta peluang pekerjaan.

Prestasi lebih tinggi itu menjadikan keseluruhan pertumbuhan ekonomi tahun lalu berkembang pada 5.2 peratus, melebihi pencapaian 5.1 peratus pada 2024.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), prestasi suku terakhir 2025 itu turut mengatasi anggaran awal pertumbuhan, sekali gus mencerminkan momentum ekonomi yang lebih kukuh.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, angka pertumbuhan berkenaan adalah yang tertinggi sejak suku keempat 2022, disokong oleh prestasi bulanan yang kukuh.

“Pertumbuhan ekonomi pada suku keempat 2025 terus dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh termasuk aktiviti pelancongan semasa cuti umum dan cuti sekolah, peningkatan perbelanjaan persekolahan, perbelanjaan perayaan, kestabilan pasaran buruh serta aktiviti pelaburan yang berterusan.

”Selain itu, penganjuran pelbagai mesyuarat dan persidangan antarabangsa sempena peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN serta Pilihan Raya Negeri Sabah turut merangsang aktiviti ekonomi,” jelasnya.

Pertumbuhan pesat pusat data juga menyumbang kepada peningkatan pelaburan dan aktiviti pembinaan, seterusnya mengukuhkan subsektor utiliti dan ICT, meningkatkan eksport serta mewujudkan peluang pekerjaan.

Keadaan ini membantu memperkukuh ekosistem digital negara dan mengembangkan rantaian nilai ekonomi yang lebih berdaya tahan.

Tambahnya, pertumbuhan positif turut dicatatkan merentasi semua sektor utama ekonomi terutamanya sektor Perkhidmatan yang berkembang 6.3 peratus daripada 5.5 peratus pada suku ketiga 2025.

”Di peringkat serantau, Malaysia merekodkan pertumbuhan ekonomi yang mampan pada tahun 2025, seiring dengan negara-negara ASEAN lain seperti Vietnam, Indonesia dan Singapura yang turut mencatatkan pertumbuhan positif.

”Prestasi cemerlang ekonomi negara juga mengatasi beberapa negara maju seperti China yang berkembang sebanyak 5.0 peratus dan Korea Selatan 1.0 peratus,” jelasnya.