Perjanjian ART tidak langkau undang-undang, kedaulatan ekonomi terpelihara

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 22 Januari – Tiada klausa dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang membenarkan pihak luar melangkaui undang-undang mahupun peraturan domestik Malaysia, tegas Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

RINGKASAN BERITA AI
  • Perjanjian ART tidak membenarkan pihak luar melangkaui undang-undang dan peraturan domestik Malaysia.
  • ART tidak menjejaskan kedaulatan ekonomi atau memaksa komitmen pelaburan komersial Malaysia.
  • Libat urus industri membantu melindungi eksport, pekerjaan dan daya saing sektor utama semasa rundingan.

Pelaksanaan komitmen perjanjian itu perlu sentiasa berlandaskan undang-undang dan peraturan tempatan serta melalui proses legislatif dan pentadbiran negara.

MITI menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen turut menegaskan, perjanjian berkenaan tidak menjejaskan kedaulatan ekonomi dan perlindungan industri domestik.

”Kerajaan juga ingin menjelaskan sekali lagi bahawa perjanjian ini tidak mengikat Malaysia kepada sebarang komitmen komersial atau pelaburan secara paksa.

”Sebaliknya ia memberi peluang kepada eksport dan pelaburan melalui mekanisme dan dasar yang saling, menguntungkan tanpa mengorbankan autonomi dasar ekonomi negara,” menurut jawapan bertulis itu.

MITI berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung jaminan kerajaan bahawa perjanjian ART tidak menjejaskan kedaulatan ekonomi dan perlindungan untuk industri domestik.

Sementara itu, mengulas hasil libat urus mengenai perjanjian itu bersama industri tempatan, MITI memaklumkan beberapa sesi telah diadakan dengan komuniti perniagaan dan industri, termasuk wakil sektor swasta dan pihak berkepentingan lain.

Sesi itu bertujuan untuk memberikan penjelasan mengenai objektif, skop serta implikasi pelaksanaan Perjanjian ART, selain mendapatkan maklum balas berkaitan potensi kesan perjanjian terhadap daya saing industri tempatan, rantaian bekalan serta kepentingan eksport negara.

”Hasil perbincangan melalui sesi-sesi libat urus berkenaan telah membantu Kerajaan dalam rundingan ART yang merupakan satu rundingan perjanjian yang strategik bermatlamatkan pengurangan kadar tarif timbal balas yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas Malaysia.

”Perjanjian ini perlu dirunding untuk melindungi pasaran eksport Malaysia, melindungi sektor pekerjaan, dan mempertahankan daya saing sektor-sektor utama seperti elektrik & elektronik (E&E), aeroangkasa, getah dan farmaseutikal,” tambah jawapan bertulis itu.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan