Penurunan harga emas bersifat sementara, permintaan kekal kukuh

Datuk Seri Louis Ng

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Penurunan harga emas ketika ini dilihat sebagai pelarasan semula harga selepas kenaikan mendadak sejak tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penurunan dipengaruhi kecairan pasaran dan ketidaktentuan geopolitik; bersifat sementara, bukan kelemahan asas emas.
  • Permintaan emas fizikal, terutama di Asia, kekal kukuh walaupun pasaran tidak menentu.
  • Emas disyorkan sebagai simpanan jangka panjang; belian berperingkat mengurangkan risiko turun naik dan menstabilkan nilai simpanan.

Presiden Persatuan Emas Malaysia, Datuk Seri Louis Ng berkata, pergerakan itu merupakan fasa normal bagi menstabilkan pasaran selepas harga emas melonjak hampir 60 peratus sebelum ini.

Situasi tersebut turut dipengaruhi faktor kecairan pasaran serta ketidaktentuan geopolitik global, namun disifatkan hanya bersifat sementara dan bukan mencerminkan kelemahan asas emas.

“Tahun ini, kita lihat pada Januari dan Februari harga emas naik dengan agak mendadak, tetapi memasuki bulan Mac ia kembali menurun dan menjadi sedikit tidak menentu.

“Kenaikan sebelum ini banyak dipengaruhi faktor geopolitik seperti konflik di Iran yang mencetuskan ketidakstabilan pasaran, apabila pelabur bimbang kecairan dalam sistem kewangan global akan terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka GongXi Raya 2026 di ibu negara. Meskipun berada dalam ketidaktentuan, permintaan emas fizikal khususnya di Asia kekal kukuh.

Justeru, emas wajar dilihat sebagai instrumen simpanan jangka panjang, dengan pendekatan pembelian secara berperingkat disaran kepada orang ramai bagi mengurangkan risiko turun naik harga serta membantu menstabilkan nilai simpanan.