Penilai bebas sahkan Aerotrain KLIA berfungsi baik

FOTO BERNAMA


KUALA LUMPUR, 2 Februari Penilai bebas yang dilantik bagi menilai sistem Aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengesahkan sistem itu berfungsi seperti yang dirancang, manakala gangguan perkhidmatan yang berlaku sejak mula beroperasi disifatkan sebagai situasi lazim pada fasa awal operasi sistem rel yang kompleks.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penilai bebas mengesahkan Aerotrain KLIA berfungsi seperti yang dirancang dan gangguan awal dianggap biasa.
  • Isu tidak membahayakan keselamatan dan boleh diurus melalui amalan kejuruteraan serta penyelenggaraan berdisiplin.
  • Dua sistem kritikal dikenal pasti: bekalan kuasa dan tren, memerlukan perhatian untuk kebolehpercayaan jangka panjang.
  • Pelan Tindakan Komprehensif dilaksanakan dengan pemeriksaan, ujian, dan operasi percubaan, disokong pemantauan berterusan.

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memaklumkan, isu-isu berkenaan tidak menimbulkan risiko keselamatan dan boleh diurus secara berkesan melalui amalan kejuruteraan serta penyelenggaraan yang berdisiplin.

“Sepanjang pelaksanaan Pelan Tindakan Komprehensif (CAP) yang bermula pada 15 November 2025, operasi Aerotrain kekal stabil dengan mencatat Ketersediaan Perkhidmatan Operasi sebanyak 100 peratus pada Disember 2025, meningkat daripada 98.67 peratus pada Julai 2025.

“Peningkatan ini mencerminkan tahap ketersediaan sistem yang tinggi walaupun kerja-kerja pemeriksaan, pengujian dan pengesahan dilaksanakan,” menurut kenyataan tersebut.

Penilaian bebas itu turut mengenal pasti dua sistem kritikal yang mempengaruhi kebolehpercayaan tren dan ketersediaan perkhidmatan, iaitu sistem bekalan kuasa dan tren (‘rolling stock’).

Bagi sistem bekalan kuasa, aspek seperti kualiti pemasangan, pemantauan keadaan rel kuasa dan kejelasan peranan operasi dikenal pasti untuk terus diberi perhatian bagi memperkukuh kebolehpercayaan jangka panjang.

Bagi tren pula, tumpuan diberikan kepada peranti pengumpul arus (‘current collector device’) yang mempengaruhi kesinambungan daya tarikan dan kestabilan perkhidmatan berikutan interaksinya dengan rel kuasa.

CAP dilaksanakan melalui aliran kerja bersepadu merangkumi pemeriksaan dan pembaikan, pengujian serta pengesahan sistem, dan operasi percubaan.

Pemeriksaan dan pembaikan di seluruh sistem Aerotrain telah diselesaikan dan kini berada pada peringkat akhir bagi menutup baki tindakan pembaikan.

Ujian ke atas sistem kritikal termasuk komunikasi, SCADA dan bekalan kuasa turut dijalankan, manakala operasi percubaan dilaksanakan dari 16 hingga 24 Disember 2025 melibatkan 18 kes ujian berkaitan antara muka sistem dan penggera kebakaran.

MAHB turut memaklumkan baki langkah CAP akan terus dilaksanakan secara bersasar, disokong oleh pemantauan berterusan serta pengawalan bebas bagi memastikan kebolehpercayaan sistem dan kelangsungan operasi Aerotrain di KLIA.

MAHB akan terus melaksanakan baki langkah CAP secara terselaras dan berkadar, disokong oleh pemantauan berterusan serta pengawasan bebas, bagi memperkukuh kebolehpercayaan sistem dan memastikan operasi Aerotrain di KLIA kekal konsisten.