
ARAU, 29 Mac- Langkah kerajaan menyelaraskan kuota Budi MADANI RON95 (BUDI95) kepada 200 liter sebulan disifatkan sebagai keputusan sukar, namun perlu bagi memastikan pengurusan subsidi negara lebih cekap, tersusun dan mengurangkan ketirisan, menurut pakar ekonomi.
- Pelarasan kuota BUDI95 sukar namun perlu untuk memastikan pengurusan subsidi lebih cekap dan mengurangkan ketirisan.
- Langkah itu bertujuan menyalurkan subsidi secara lebih berkesan dan memastikan bekalan petrol bersubsidi mencukupi dalam pasaran tenaga tidak menentu.
- Kerajaan mengekalkan harga RON95 pada kadar rendah bagi mengawal kesan inflasi, kos sara hidup serta kos pengangkutan dan logistik.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, Dr Shamshul Anaz Kassim berkata pelarasan itu bukan bertujuan menarik balik bantuan kepada rakyat, sebaliknya memastikan subsidi disalurkan secara lebih berkesan.
Jelasnya, dalam keadaan pasaran tenaga dunia yang masih tidak menentu, pendekatan berhati-hati perlu diambil bagi menjamin bekalan petrol bersubsidi kekal mencukupi, di samping mengelakkan rakyat berdepan kesan lebih besar sekiranya tekanan harga minyak global berpanjangan.
Beliau menegaskan, kerajaan masih mengekalkan harga RON95 pada kadar rendah iaitu RM1.99 seliter, sekali gus menunjukkan keutamaan ketika ini adalah mengawal keadaan lebih awal agar impak terhadap kos sara hidup dapat dibendung.
“Jika kerajaan tidak mengawal subsidi dan menyelaraskan kuota petrol, secara tidak langsung harga barangan akan meningkat, sekali gus menjejaskan kehidupan rakyat,” katanya.
Tambah beliau, kegagalan mengawal subsidi bahan api bukan sahaja memberi tekanan kepada kewangan kerajaan, malah boleh meningkatkan kos pengangkutan, logistik serta harga barangan keperluan harian.
Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu perutusan khas mengumumkan kuota BUDI95 akan diselaraskan sementara daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026 susulan konflik di Asia Barat.
Dalam masa sama, beliau menegaskan harga RON95 bersubsidi masih kekal pada RM1.99 seliter.