Pelan asas MHIT kurangkan risiko kejutan kewangan isi rumah

Felo Penyelidik Pusat Ekonomi Islam UIAM, Profesor Madya Dr. Muhammad Irwan Ariffin/RTM

KUALA LUMPUR, 26 Januari -Pelan Insurans Perubatan dan Kesihatan (MHIT) asas serendah RM80 berupaya membantu isi rumah mengurus risiko kos rawatan kesihatan yang tinggi, sekali gus memudahkan perancangan kewangan dalam jangka sederhana.

RINGKASAN BERITA AI
  • MHIT asas murah (RM80–RM120) bantu isi rumah urus kos rawatan kesihatan tinggi.
  • Bayaran premium bulanan kurangkan risiko kejutan bil besar dan mudahkan perancangan kewangan.
  • Peluang rawatan awal di swasta tingkatkan kesihatan pekerja dan sokong produktiviti negara.

Menurut Felo Penyelidik Pusat Ekonomi Islam UIAM, Profesor Madya Dr. Muhammad Irwan Ariffin, walaupun perlu membayar premium bulanan, pelan itu dapat mengurangkan risiko bil rawatan yang besar dan tidak dijangka.

Jelasnya, perlindungan MHIT dapat mengurangkan kejutan kewangan akibat sakit serius yang boleh memberi tekanan kepada kedudukan kewangan keluarga sehingga terpaksa menangguhkan rawatan.

“Jadi menerusi bayaran secara tetap setiap bulan, akan memberikan kelegaan kepada isi rumah dan juga membantu mereka untuk merancang kewangan dengan lebih mudah.

“Ia juga bertindak sebagai jaringan keselamatan bagi isi rumah yang tidak memiliki sebarang bentuk perlindungan atau mempunyai perlindungan tetapi tidak mencukupi berikutan inflasi atau kenaikan premium tersebut,” katanya kepada pemberita RTM.

Tambahnnya, dengan pelan MHIT asas mampu milik, lebih ramai pekerja dijangka mendapatkan rawatan awal di hospital swasta, sekali gus mengurangkan kos rawatan dan memendekkan tempoh pemulihan.

Keadaan itu dijangka menyokong tenaga kerja yang lebih sihat, mengurangkan cuti sakit berpanjangan serta membantu mengekalkan produktiviti dalam negara.

Kerajaan bakal memperkenalkan MHIT asas dengan kadar premium serendah RM80 hingga RM120 sebulan bagi membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup, khususnya melibatkan perbelanjaan kesihatan.

Ia merupakan sebahagian daripada strategi RESET yang digerakkan bersama Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Bank Negara Malaysia (BNM).