
KUALA LUMPUR, 3 Mac –Prestasi pelaburan Malaysia bagi tahun 2025 yang menunjukkan perkembangan positif; dijangka bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu.
- Peningkatan pelaburan dijangka meningkatkan purata gaji pekerja tempatan.
- Sebahagian besar projek melibatkan sektor berteknologi tinggi menawarkan pekerjaan bergaji lebih kompetitif.
- Pelaburan domestik melebihi asing dan lebih mudah direalisasikan, mendorong pelaksanaan projek serta penciptaan pekerjaan baharu.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latif berpandangan, peningkatan pelaburan itu juga dijangka mampu meningkatkan purata gaji pekerja tempatan.
Ia berikutan sebahagian besar projek pelaburan yang diluluskan melibatkan sektor berteknologi tinggi yang menawarkan peluang pekerjaan dengan gaji lebih kompetitif.
“Satu yang menarik tentang data jumlah pelaburan ini adalah peningkatan pelaburan domestik yang melebihi daripada pelaburan asing itu sendiri kerana kita lihatlah biasanya komitmen pelaburan domestik itu lebih mudah untuk di realisasikan berbanding dengan pelaburan asing,” katanya ketika dihubungi Berita RTM.
Sebahagian besar pelaburan yang diluluskan dijangka dapat dilaksanakan kerana ia datang daripada pelabur tempatan.
“jika ianya dapat dilaksanakan maka kewujudannya pekerjaan baharu. Lebih kepada modal insan dan itu yang Malaysia mampu sediakan kerana kita mempunyai peratusan dia graduan yang mempunyai tahap pendidikan kelayakan ataupun kemahiran yang tinggi,” katanya.