Pelabur asing kekal pembeli bersih minggu ke-6, aliran masuk RM377.2 juta

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 16 Februari – Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia untuk minggu keenam berturut-turut, mencatatkan aliran masuk asing bersih sebanyak RM377.2 juta, iaitu 25 kali ganda lebih tinggi daripada RM15 juta pada minggu sebelumnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelabur asing terus menjadi pembeli bersih di Bursa Malaysia untuk minggu keenam berturut-turut.
  • Aliran masuk asing bersih tertumpu pada sektor perkhidmatan kewangan, pengangkutan dan pembinaan.
  • Institusi tempatan merekodkan aliran keluar bersih dua minggu berturut-turut.
  • Secara serantau, pelabur asing beralih kepada pembelian bersih selepas tiga minggu jualan bersih.

Menurut MBSB Investment Bank Bhd, pelabur asing merupakan pembeli bersih hampir setiap hari dagangan, dengan satu-satunya aliran keluar direkodkan pada Jumaat sebanyak RM178.4 juta.

Berdasarkan Laporan Aliran Dana pada minggu berakhir 13 Feb 2026, tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (RM195.5 juta), pengangkutan dan logistik (RM64.7 juta) dan pembinaan (RM58 juta).

“Manakala, tiga sektor utama yang mencatatkan aliran keluar asing bersih ialah penjagaan kesihatan (RM38.2 juta), teknologi (RM28.6 juta) dan perladangan (RM16.2 juta).

”Sementara itu, institusi tempatan melanjutkan aliran keluar bersih dua minggu berturut-turut dengan dana sebanyak RM211.5 juta,” katanya.

Sebaliknya, peruncit tempatan kembali kepada penjual bersih selepas mencatat aliran masuk pada minggu sebelumnya dengan aliran keluar bersih sebanyak RM165.7 juta.

Pada peringkat serantau, pelabur asing mengakhiri aliran jualan bersih selama tiga minggu berturut-turut, dengan aliran masuk asing bersih berjumlah AS$10.89 bilion.

Trend itu didorong oleh aktiviti belian bersih di Taiwan, diikuti Korea Selatan, India, Thailand, Vietnam dan Filipina manakala hanya Indonesia mencatatkan aliran keluar asing bersih.