Pelabur asing kekal pembeli bersih di Bursa Malaysia

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Februari – Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih di Bursa Malaysia untuk minggu kelima berturut-turut dengan merekodkan aliran masuk asing bersih sebanyak RM15 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelabur asing membeli bersih pada Jumaat, walaupun merekodkan aliran keluar pada tiga hari dagangan lain.
  • Sektor perkhidmatan kewangan, perladangan dan pembinaan menerima aliran masuk asing bersih terbesar.
  • Institusi tempatan mengalami aliran keluar bersih selepas dua minggu pembelian bersih.
  • Peruncit tempatan bertukar menjadi pembeli bersih selepas sembilan minggu jualan bersih.

Menurut MBSB Investment Bank Bhd, pelabur asing hanya membuat belian bersih pada Jumaat dengan jumlah aliran masuk sebanyak RM132.3 juta.

Manakala untuk baki tiga hari dagangan, pelabur asing merekodkan aliran keluar dengan nilai tertinggi dicatatkan pada Khamis iaitu RM64.8 juta.

Berdasarkan laporan aliran dana MBSB Investment Bank Bhd bagi minggu berakhir 6 Februari 2026, tiga sektor utama yang mencatatkan aliran masuk asing bersih adalah perkhidmatan kewangan (RM162 juta), perladangan (RM37 juta) dan pembinaan (RM34.2 juta).

“Institusi tempatan mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM36.2 juta selepas dua minggu berturut-turut pembelian bersih.

”Manakala peruncit tempatan bertukar menjadi pembeli bersih selepas sembilan minggu berturut-turut jualan bersih, mencatatkan aliran masuk bersih RM21.2 juta,” menurut kenyataan itu.

Tambah firma berkenaan, purata jumlah dagangan harian menyaksikan penurunan dengan peruncit tempatan merosot 19.7 peratus, institusi tempatan turun 17.7 peratus, dan pelabur asing berkurangan 23.5 peratus.

”Di peringkat serantau, pelabur asing meneruskan jualan bersih mereka kepada minggu ketiga berturut-turut berjumlah AS$9.84 bilion.

”Jualan tertumpu di Korea Selatan, Taiwan, Vietnam dan Indonesia, manakala pasaran lain yang dijejaki mencatatkan aliran masuk asing bersih, diterajui oleh India, Thailand, Filipina dan Malaysia,” menurut kenyataan terbabit.