Nilai transaksi hartanah tertinggi, bukti asas ekonomi kukuh

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming /Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Pencapaian hartanah negara yang mencatatkan nilai transaksi melebihi RM240 bilion pada 2025, mencerminkan keyakinan pelabur serta kekuatan asas ekonomi negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sektor hartanah pemacu utama ekonomi, memberi impak kepada hampir 200 industri; pertumbuhan menunjukkan permintaan perumahan kekal kukuh dan mampan.
  • Sebanyak 416,413 transaksi direkodkan sepanjang 2025, menyokong kestabilan dan daya tahan pasaran hartanah.
  • Kerajaan melalui Reformasi Perumahan MADANI memperkukuh penguatkuasaan, pemantauan, platform TEDUH dan e‑SPA, sasar sifar projek sakit menjelang 2030.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, transaksi tertinggi dalam tempoh sedekad itu menyaksikan peningkatan 4.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Sektor hartanah adalah pemacu utama ekonomi kerana memberi impak kepada hampir 200 industri. Pertumbuhan ini menunjukkan permintaan perumahan kekal kukuh dan mampan,” katanya.

Menurut Laporan Pasaran Harta 2025, sebanyak 416,413 transaksi direkodkan sepanjang tahun tersebut.

Subsektor kediaman mencatat pertumbuhan 5.9 peratus manakala Indeks Harga Rumah Malaysia meningkat 2.6 peratus, menandakan pasaran stabil dan berdaya tahan.

Pada masa sama, kerajaan komited memperkukuh sektor itu melalui Reformasi Perumahan MADANI dengan sasaran mencapai sifar projek sakit menjelang 2030.

Antara langkah diambil termasuk memperkukuh audit Akaun Pemajuan Perumahan, sistem Pemantauan Bersepadu Perumahan, platform TEDUH serta pelaksanaan sistem e-SPA.

Nga berkata kerajaan akan terus memastikan sektor perumahan berkembang bukan sahaja dari segi nilai, malah kualiti pembangunan dan kesejahteraan rakyat.