Niaga hadapan MSM ditutup rendah, dipengaruhi aktiviti pengambilan untung

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 20 Februari– Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) ditutup lebih rendah hari ini didorong oleh aktiviti pengambilan untung selepas mencatatkan kenaikan kukuh pada Khamis, kata seorang peniaga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Niaga hadapan MSM ditutup lebih rendah susulan aktiviti pengambilan untung selepas kenaikan sebelumnya.
  • Niaga hadapan gagal menjejaki kenaikan minyak kacang soya di CME menurut penganalisis.
  • Permintaan eksport yang lebih lemah dan penutupan Dalian turut menyumbang kepada tekanan harga MSM.
  • Jumlah dagangan dan kepentingan terbuka meningkat walaupun harga fizikal dan kontrak susut.

Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM gagal menjejaki kenaikan minyak kacang soya di Chicago Mercantile Exchange (CME).

“Permintaan eksport yang lebih lemah, aktiviti pengambilan untung serta (penutupan sempena cuti umum) Dalian Commodity Exchange berkemungkinan menekan niaga hadapan MSM,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak Mac 2026 susut RM30 kepada RM4,063 satu tan, April 2026 turun RM27 kepada RM4,087 satu tan manakala Mei 2026 berkurang RM25 kepada RM4,092 satu tan.

Kontrak Jun 2026 mengecil RM20 kepada RM4,096 satu tan, Julai 2026 turun RM11 kepada RM4,100 satu tan dan Ogos 2026 merosot RM9 kepada RM4,099 satu tan.

Jumlah dagangan menokok kepada 81,717 lot daripada 72,636 lot pada Khamis manakala kepentingan terbuka melonjak kepada 228,011 daripada 223,809 sebelumnya.

Harga fizikal MSM bagi Mac Selatan susut RM20 kepada RM4,100 satu tan. -BERNAMA