
KUALA LUMPUR, 13 Januari – Pelaburan yang diperlukan oleh negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk melaksanakan strategi rendah karbon adalah purata 1.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan meningkat kepada lebih 5.0 peratus bagi negara berpendapatan rendah
- Peluang besar untuk tingkatkan pembiayaan Islam bagi menggerakkan modal swasta dan capai pelaburan rendah karbon di negara-negara OIC.
- Perlu pemerkasaan pasaran PE dan VC serta inovasi teknologi untuk sokong tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian hijau.
- Pembangunan takaful dan kapasiti teknikal penting sebagai mekanisme pemindahan risiko untuk pelaburan berdaya tahan iklim.
Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, banyak negara OIC kekal antara wilayah paling terdedah kepada perubahan iklim di dunia dengan tahap pendedahan yang tinggi serta keupayaan penyesuaian yang rendah.
“Realiti ini menjelaskan satu perkara yang nyata, peningkatan kewangan Islam akan bergantung pada keupayaan kita untuk menggerakkan modal swasta dengan berkesan dan pantas,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada pelancaran laporan bersama World Bank Group-Islamic Development Bank bertajuk Islamic Finance and Climate Agenda: From Green Sukuk Innovation to Greener Halal Value Chain, di sini, hari ini.
Usaha memacu tindakan iklim turut memerlukan inovasi serta kemajuan teknologi, sambil menyatakan bahawa hanya 3.0 peratus syarikat yang memperoleh pembiayaan ekuiti persendirian (PE) atau modal teroka (VC) bagi teknologi bersih dan iklim antara 2017 hingga 2024 berasal dari negara OIC, yang mewakili hanya 0.5 peratus daripada jumlah pelaburan global.
“Ini merupakan satu peluang yang terlepas. Pertumbuhan dan pemerkasaan pasaran PE dan VC amat penting bagi memupuk penyelesaian baharu seperti tenaga boleh diperbaharui, pembuatan hijau, penyelesaian berasaskan alam semula jadi serta pertanian pintar iklim.
“Kewangan Islam perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam membuka ekosistem inovasi ini,” katanya.
Adnan Zaylani berkata, pembangunan takaful sebagai mekanisme pemindahan risiko bagi menggalakkan pelaburan berdaya tahan iklim juga adalah penting, memandangkan jurang yang wujud berbanding instrumen insurans konvensional yang digunakan dalam pembiayaan iklim.
Tambahnya, banyak pengendali takaful masih kekurangan kepakaran teknikal, kapasiti aktuari serta infrastruktur data untuk membangunkan produk berkaitan iklim seperti perlindungan parametrik bagi kemarau, banjir dan kejadian cuaca ekstrem.
Mengulas mengenai Malaysia, Adnan Zaylani berkata, negara ini sekian lama berada di barisan hadapan dalam menggembleng kewangan Islam untuk agenda iklim, bermula dengan penerbitan sukuk hijau pertama dunia pada 2017, yang meletakkan Malaysia sebagai penerbit terbesar di rantau OIC, dengan lebih 47 sukuk hijau dan mampan berjumlah AS$13.4 bilion (AS$1 = RM4.05).
“Pencapaian ini didorong oleh pendekatan ekosistem yang menyeluruh, termasuk pelaksanaan inisiatif Value-Based Intermediation (VBI) serta kerangka penilaian impak pembiayaan dan pelaburan VBI (VBIAF) melalui panduan sektoral,” katanya.
Setakat ini, 18 komuniti pengamal VBI telah menyalurkan lebih AS$11 bilion pembiayaan hijau Islam, sekali gus membuktikan keupayaan sektor ini mengubah tingkah laku pelaburan dan menggerakkan modal bermakna ke arah tindakan iklim.
Adnan Zaylani berkata, BNM komited untuk mengekalkan momentum tersebut dan terus membangunkan penyelesaian yang memfokuskan kepada penggemblengan modal awam dan swasta secara cekap.
Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk pengenalan i-CITA pada September tahun lalu bagi membolehkan bank Islam menguji kontrak perkongsian risiko, serta penubuhan Climate Finance Innovation Lab (CFIL) yang ditadbir oleh Bank Pembangunan Malaysia.