
PUTRAJAYA, 12 Mac – Sistem Pemantauan Pelan Pelaksanaan Dasar Rancangan Malaysia Ke-13 (MyRMK) dilancarkan bagi memperkukuh tadbir urus serta memastikan setiap projek pembangunan negara dilaksanakan secara lebih telus, berkesan dan memberi impak kepada rakyat.
- Sistem MyRMK menjadi platform pemantauan bersepadu menghubungkan pelaksanaan projek, prestasi kewangan, pencapaian output dan status isu merentas kementerian dan agensi.
- Integrasi dengan MyProjek dan MyBelanjawan membolehkan pemantauan lebih menyeluruh, telus dan responsif terhadap pelaksanaan projek.
- RMK13 bukan sekadar rancangan lima tahun; ia instrumen penting memacu reformasi ekonomi, memperkukuh daya tahan negara dan menjamin kesejahteraan rakyat secara mampan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sistem itu akan berfungsi sebagai platform pemantauan bersepadu yang menghubungkan maklumat pelaksanaan projek, prestasi kewangan, pencapaian output serta status isu merentas kementerian dan agensi.
“Sistem tersebut juga akan diintegrasi dengan sistem lain seperti MyProjek dan MyBelanjawan akan membolehkan kerajaan melihat pelaksanaan secara lebih menyeluruh, lebih telus dan lebih responsif.” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama Majlis Perasmian Mesyuarat IAPG Perdana dan Peluncuran Sistem MyRMK: Sistem Pemantauan Pelan Pelaksanaan Dasar RMK13, di sini hari ini.
Tambahnya, pemantauan RMK13 tidak hanya bergantung kepada sistem semata-mata, sebaliknya turut dilaksanakan melalui pemantauan berkala serta pemantauan di lapangan menerusi sesi libat urus, lawatan tapak dan pendekatan turun padang secara berterusan.
“Pendekatan ini penting kerana ada kalanya sesuatu projek kelihatan lancar berdasarkan data, namun berdepan pelbagai cabaran sebenar di lapangan seperti isu penyelarasan, kelewatan projek, kekangan tapak serta keperluan rakyat setempat,” katanya lagi.
Menurut beliau, RMK13 bukan sekadar dilihat sebagai rancangan pembangunan lima tahun, sebaliknya merupakan instrumen penting untuk memacu reformasi ekonomi, memperkukuh daya tahan negara serta menjamin kesejahteraan rakyat secara mampan.