
KUALA LUMPUR , 12 Mac – Kementerian Pengangkutan (MOT) memberi kelulusan bersyarat bagi pendaftaran dan pelesenan semi treler jenis open platform yang dilengkapi sistem twist lock untuk membawa kontena piawaian antarabangsa ISO.
- Kelulusan tertakluk kepada operasi port to business (P2B) dan business to port (B2P) sahaja.
- Reka bentuk terhad kepada pelan teknikal untuk kenderaan baharu sahaja dengan panjang maksimum 45 kaki termasuk sistem twist lock.
- Hanya dibenarkan membawa kontena ISO saiz 40 kaki dan 45 kaki untuk memastikan aspek keselamatan.
- Berat dengan muatan maksimum ditetapkan pada 53 tan, tertakluk kepada syarat teknikal Jabatan Pengangkutan Jalan.
Kelulusan itu bagaimanapun tertakluk kepada operasi port to business (P2B) dan business to port (B2P) sahaja.
Menerusi satu kenyataan, MOT berkata, keputusan berkenaan sebahagian daripada usaha memperkemas kerangka kawal selia, meningkatkan kecekapan logistik negara serta memastikan aspek keselamatan dan pematuhan teknikal kenderaan perdagangan terus dipelihara.
“Di bawah kelulusan ini, beberapa syarat telah ditetapkan kepada pemain industri logistik. Antaranya, reka bentuk semi treler terhad kepada pelan teknikal bagi kenderaan baharu sahaja, dengan panjang maksimum 45 kaki termasuk sistem twist lock,” kata kenyataan itu.
Selain itu, nisbah penggerak utama kepada semi treler juga kekal seperti sedia ada iaitu maksimum satu kepada tujuh.
Bagi jenis muatan pula, semi treler ini hanya dibenarkan membawa kontena ISO bersaiz 40 kaki dan 45 kaki bagi memastikan aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan.
Kadar Lesen Kenderaan Motor pula ditetapkan seperti lori kontena di bawah Kod Kegunaan BQ bagi penggerak utama kontena.
Kenderaan berkenaan juga akan dilesenkan di bawah jenis perkhidmatan kontena dengan Permit Operasi KA, tertakluk kepada had muatan yang ditetapkan dalam pelan teknikal serta syarat permit oleh pihak berkuasa.
Dari segi berat pula, Berat Dengan Muatan maksimum ditetapkan pada 53 tan, tertakluk kepada syarat teknikal terperinci yang akan ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan.
Pihak industri yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh berhubung dengan Jabatan Pengangkutan Jalan serta Agensi Pengangkutan Awam Darat bagi tatacara pendaftaran dan pelesenan kenderaan berkenaan.
Langkah itu dijangka meningkatkan kecekapan rantaian bekalan negara selain membantu mengurangkan kos operasi industri logistik.
Secara tidak langsung, ia turut memberi manfaat kepada rakyat melalui kos barangan dan perkhidmatan yang lebih kompetitif.
MOT menegaskan komitmen untuk memastikan setiap dasar yang dilaksanakan kekal seimbang, selamat dan memberi nilai tambah kepada pembangunan ekonomi negara.