
KUALA LUMPUR, 16 Februari – Prestasi pertumbuhan ekonomi negara yang mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) keseluruhan 5.2 peratus bagi tahun 2025 menunjukkan asas ekonomi Malaysia kekal kukuh, disokong permintaan domestik serta pelaburan yang berterusan.
- Ekonomi Malaysia mencatat KDNK 5.2% pada 2025, disokong permintaan domestik dan pelaburan yang berterusan.
- Cadangan pasukan petugas untuk AI dan E&E serta program latihan mikro mempercepatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
- Sokongan kepada PKS melalui baucar produktiviti untuk automasi dan kecekapan, dengan syarat peningkatan gaji atau pengambilan pekerja tempatan.
Pakar ekonomi dan Provos Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, pencapaian yang menjangkaui anggaran awal itu turut membuktikan daya tahan ekonomi negara walaupun berdepan ketidaktentuan global termasuk dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan geopolitik.
Bagaimanapun momentum tersebut perlu terus diperkukuh melalui peningkatan produktiviti, daya saing industri serta sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memastikan pertumbuhan lebih inklusif dan mampan.

“Malaysia perlu menubuhkan satu pasukan petugas khusus bagi sektor kecerdasan buatan (AI) serta elektrik dan elektronik (E&E), khususnya untuk membuka peluang pekerjaan baru dan mempercepatkan penyediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi melalui program latihan mikro dan penempatan segera dalam sektor AI dan semikonduktor.
”Bagi perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), satu bentuk baucar produktiviti boleh diperkenalkan bagi meningkatkan automasi, kecekapan tenaga dan kualiti operasi, dengan syarat terdapat peningkatan gaji atau pengambilan pekerja tempatan,” katanya kepada RTM.
Mengulas prospek ekonomi pada tahun 2026, beliau menjangkakan pertumbuhan sedikit perlahan berikutan ketidaktentuan dasar global, khususnya di Amerika Syarikat (AS), selain faktor berkaitan perdagangan antarabangsa. Namun pertumbuhan ekonomi negara masih dijangka berada dalam julat yang baik untuk mencatatkan pertumbuhan yang mampan bagi tahun ini.
Tahun 2025, ekonomi negara berkembang sebanyak 5.2 peratus mengatasi unjuran rasmi kerajaan antara empat hingga 4.8 peratus. Momentum pertumbuhan tersebut turut dipacu prestasi suku keempat 2025 yang tumbuh 6.3 peratus, tertinggi dalam tempoh tiga tahun dan jauh mengatasi anggaran awal.