
KUALA LUMPUR, 30 Mac – Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia (MITA) mengumumkan kenaikan kira-kira 80 peratus harga sewaan bas dan van persiaran berkuat kuasa serta-merta.
- Kadar sewaan bas dan van meningkat sekitar 70 hingga 80 peratus berdasarkan pengiraan sewaan harian mengikut destinasi.
- Kenaikan disebabkan lonjakan harga diesel manakala bas, van dan feri tidak termasuk dalam mekanisme subsidi diesel negara.
- MITA mohon sokongan kerajaan termasuk cadangan subsidi 3,000 liter sebulan untuk bas dan 2,500 liter untuk van serta meneruskan rundingan.
Presiden MITA, Mint Leong berkata, kenaikan itu didorong lonjakan harga diesel susulan pelarasan harga minyak pasaran global.
Beliau berkata, bas pelancongan, van dan feri tidak termasuk dalam mekanisme subsidi diesel negara, sekali gus menambah tekanan kos kepada pengendali industri.
“Kami terpaksa mengambil langkah ini bagi memastikan kelangsungan pemain industri pelancongan sebelum dapat terus memberikan perkhidmatan kepada pelancong.
“Kadar kenaikan adalah sekitar 70 hingga 80 peratus, berdasarkan pengiraan sewaan harian bas dan van persiaran mengikut destinasi.
“Sebagai contoh, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh yang sebelum ini sekitar RM1,500 kini dinaikkan kepada kira-kira RM1,900 dan itu merupakan harga siling,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata, langkah itu dianggap sebagai penyelesaian jangka pendek bagi memastikan pengusaha terus menyediakan perkhidmatan pengangkutan yang selamat dan berkualiti.
“MITA bersama rakan-rakan persatuan menyeru kerajaan menyediakan sokongan jangka panjang termasuk subsidi diesel.
“Jika diluluskan, cadangan melibatkan 3,000 liter sebulan untuk bas pelancongan dan 2,500 liter bagi van. Namun, industri mengakui peluang mendapatkan subsidi itu sukar kerana banyak permohonan sebelum ini ditolak,” kata beliau.
Tambah beliau, walaupun pengumuman harga baharu adalah penyelesaian sementara, pihaknya akan terus berunding dengan kerajaan memastikan polisi jangka panjang bagi menyokong industri pengangkutan dan pembangunan pelancongan negara.