
KUALA LUMPUR, 17 Mac- Sektor pelancongan domestik negara merekodkan prestasi kukuh pada 2025 dengan jumlah pelawat mencecah 290.1 juta.
- Perbelanjaan pelancongan domestik meningkat 13.3 peratus kepada RM121.0 bilion, mencerminkan sumbangan lebih tinggi kepada aktiviti ekonomi domestik.
- Sektor pelancongan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi, menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta meningkatkan daya tahan ekonomi.
- Prestasi suku keempat kukuh: 74.0 juta pelawat domestik naik 10.8 peratus dan perbelanjaan RM32.6 bilion meningkat 12.4 peratus.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata jumlah pelawat meningkat 11.5 peratus berbanding 2024, manakala perbelanjaan pelancongan domestik berkembang 13.3 peratus kepada RM121.0 bilion, sekali gus mencerminkan peningkatan sumbangan sektor itu kepada aktiviti ekonomi domestik.
Beliau berkata secara keseluruhan, sektor pelancongan domestik Malaysia terus berperanan sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi, disokong peningkatan bilangan pelawat, perbelanjaan pelancongan yang lebih tinggi serta prestasi berdaya tahan merentas industri berkaitan.
“Pertumbuhan berterusan yang dicatatkan pada 2025 menunjukkan peranan signifikan sektor ini dalam memperkukuh permintaan domestik, menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta meningkatkan daya tahan ekonomi secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dapatan prestasi tersebut terkandung dalam Buletin Survei Pelancongan Domestik Malaysia Suku Keempat 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Mengulas prestasi sektor pelancongan domestik pada suku keempat 2025, Mohd Uzir berkata bilangan pelawat domestik mencecah 74.0 juta, meningkat 10.8 peratus tahun ke tahun dan 2.0 peratus berbanding suku sebelumnya.
Beliau berkata perbelanjaan pelancongan domestik direkodkan sebanyak RM32.6 bilion, meningkat 12.4 peratus tahun ke tahun dan 9.1 peratus berbanding suku sebelumnya.
“Prestasi suku ini mencerminkan permintaan domestik yang berterusan, disokong peningkatan perbelanjaan bagi penginapan, perkhidmatan makanan dan minuman, pengangkutan serta aktiviti runcit merentas industri berkaitan pelancongan,” katanya.
Mohd Uzir berkata indikator daripada industri berkaitan pelancongan turut selari dengan prestasi memberangsangkan sektor itu.
Antaranya, ketibaan penumpang domestik di lapangan terbang meningkat 17.9 peratus tahun ke tahun, manakala jualan runcit bahan api automotif mencatatkan pertumbuhan 7.1 peratus.
“Ini mencerminkan tahap mobiliti yang lebih tinggi serta peningkatan perbelanjaan berkaitan perjalanan pada suku keempat 2025,” katanya.
Beliau berkata subsektor penginapan turut merekodkan prestasi kukuh dengan jumlah hasil meningkat 14.7 peratus tahun ke tahun.