Malaysia perlu utamakan peningkatan kemahiran tenaga kerja hadapi era AI

Ketua Pakar Ekonomi Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), Dong He

KUALA LUMPUR, 7 Februari – Malaysia perlu memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja bagi memastikan negara kekal berdaya saing dalam era kecerdasan buatan (AI) serta kitaran pelaburan teknologi global yang semakin kompetitif.

RINGKASAN BERITA AI
  • Utamakan peningkatan kemahiran tenaga kerja untuk memastikan daya saing negara dalam era AI.
  • Kemahiran tinggi diperlukan untuk menyerap pelaburan asing secara lebih produktif dan tingkatkan nilai tambah domestik.
  • Dasar pembangunan modal insan yang menyeluruh penting bagi kekal kompetitif dalam kitaran pelaburan teknologi global.

Ketua Pakar Ekonomi Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO), Dong He, berkata tenaga kerja berkemahiran tinggi penting bagi membolehkan pelaburan asing diserap secara lebih produktif, sekali gus meningkatkan nilai tambah domestik.

Menurut beliau, peningkatan kemahiran pekerja akan menyokong pertumbuhan sektor berteknologi tinggi seperti semikonduktor, elektronik dan pusat data, selari dengan keperluan industri masa hadapan.

“Daripada segi keupayaan domestik dalam era kecerdasan buatan, peningkatan kemahiran tenaga kerja merupakan keutamaan dasar yang sangat penting.

“Ia bertujuan membantu pekerja terus berdaya saing di peringkat global serta membolehkan pelaburan langsung asing diserap secara lebih produktif bagi meningkatkan nilai tambah domestik dalam pengeluaran di Malaysia,” katanya pada Taklimat Media Penutup Lawatan Konsultasi Tahunan AMRO 2026 ke Malaysia.

Dalam taklimat sama, Dong He memaklumkan ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.6 peratus pada 2026, disokong momentum pelaburan teknologi serta permintaan domestik yang berterusan.

Bagaimanapun, risiko luaran termasuk ketegangan perdagangan global dan kawalan teknologi yang lebih ketat berpotensi menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi negara.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan pelaksanaan dasar yang lebih menyeluruh dalam pembangunan modal insan bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam kitaran pelaburan global semasa.