
KUALA LUMPUR, 23 Februari – Malaysia perlu memperluaskan rangkaian perdagangan dan mengurangkan kebergantungan kepada rakan dagang utama seperti Amerika Syarikat (AS) dan China bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi kekal mampan dalam tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang.
- Perlu memperluaskan rangkaian rakan dagang bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran utama seperti AS dan China.
- Mengukuhkan ekosistem rantaian bekalan global untuk kurangkan pendedahan kepada risiko dasar unilateral dan gangguan geopolitik.
- Strategi kepelbagaian pasaran eksport penting untuk meningkatkan daya tahan ekonomi menghadapi gangguan atau kelembapan luaran.
Ahli Ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan, EU-ERA The Future, Muhammad Anas Nabil Al-Fattah Muhammad Yazid berkata ketegangan geopolitik antara dua kuasa ekonomi itu berpotensi memberi kesan langsung kepada aktiviti eksport dan import Malaysia.
Menurutnya, AS dan China merupakan rakan dagang utama Malaysia, justeru ketidaktentuan hubungan antara kedua-dua negara sedikit sebanyak boleh mempengaruhi perdagangan luar negara.
“Langkah terbaik adalah dengan memperluaskan rangkaian rakan dagang lain serta mengukuhkan ekosistem rantaian bekalan global supaya kita tidak terlalu bergantung kepada dua pasaran utama tersebut,” katanya ketika ditemui selepas program Bual Biz, di sini hari ini.
Beliau berkata pengukuhan jaringan perdagangan serantau dan global mampu mengurangkan pendedahan negara terhadap risiko dasar unilateral serta gangguan geopolitik.
Tambah beliau, strategi kepelbagaian pasaran eksport juga penting bagi meningkatkan daya tahan ekonomi negara sekiranya berlaku gangguan perdagangan atau kelembapan ekonomi dalam mana-mana negara utama dunia.