Malaysia pantau dasar perdagangan AS, teliti implikasi tarif

Kerajaan sedang memantau perkembangan serta dasar terkini di Amerika Syarikat./BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Februari – Kerajaan sedang memantau rapat perkembangan serta dasar terkini di Amerika Syarikat (AS) susulan keputusan Mahkamah Agung negara itu membatalkan tarif timbal balas oleh pentadbiran Presiden Donald Trump.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan pantau rapat dasar perdagangan AS selepas keputusan Mahkamah Agung membatalkan tarif timbal balas.
  • MITI meneliti skop dan implikasi pengumuman tarif sementara 10 peratus serta menunggu penjelasan pelaksanaan.
  • Malaysia kekal komited kepada perdagangan terbuka, diversifikasi hubungan dagang dan melindungi kepentingan pengeksport serta pelabur.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menerusi kenyataan berkata, Malaysia telah menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika, namun belum meratifikasikannya.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh AS, negara itu masih mempunyai mekanisme undang-undang lain untuk mengenakan langkah perdagangan, termasuk tarif unilateral, sekiranya ia memilih untuk berbuat demikian.

”MITI juga mengambil maklum pengumuman terkini oleh Presiden Donald Trump mengenai langkah tarif sementara sebanyak 10 peratus, dan sedang meneliti skop serta implikasinya.

”Pada peringkat ini, kami sedang menunggu penjelasan lanjut mengenai bagaimana langkah-langkah ini akan dilaksanakan dan sama ada pelarasan tambahan akan menyusul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Datuk Seri Johari, pendekatan Malaysia adalah jelas, konsisten serta kekal komited terhadap perdagangan terbuka dan berasaskan peraturan.

Ia penting bagi mengekalkan persekitaran perniagaan yang stabil selain melindungi kepentingan pengeksport, pelabur antarabangsa, perniagaan yang beroperasi di negara ini dan pekerja tempatan.

”Pada masa sama, Malaysia akan terus mempelbagaikan hubungan perdagangan serta memperkukuh kerjasama ekonomi serantau dan pelbagai hala bagi memastikan daya tahan dalam persekitaran perdagangan global yang sentiasa berkembang.

”Malaysia akan bertindak demi kepentingan terbaik sambil mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh dengan AS,” jelasnya.

AS yang merupakan antara ekonomi terbesar dunia, kekal sebagai rakan dagang yang penting buat Malaysia.

Tahun lalu, jumlah perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat mencecah kira-kira RM367 bilion, dengan jumlah eksport ke Amerika Syarikat sebanyak RM233 bilion.