Malaysia dijangka catat pertumbuhan ekonomi antara 4 – 5 peratus

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 17 Februari Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan ekonomi antara empat hingga lima peratus tahun ini, didorong lonjakan dalam kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan infrastruktur digital.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka antara empat hingga lima peratus tahun ini dipacu oleh AI, semikonduktor dan infrastruktur digital.
  • Export semikonduktor kukuh dan pelaburan dalam AI serta pusat data menyokong pemulihan dan perkembangan ekonomi.
  • Kejayaan NIMP2030 bergantung kepada kepantasan pelaksanaan dasar dan penerimaan AI dalam perniagaan serta tenaga kerja.

Menurut Tinjauan Ekonomi Global terbaharu dilakukan Association of Chartered Certified Accountants (ACCA), pertumbuhan itu disokong eksport semikonduktor kukuh, peningkatan pelaburan AI serta perkembangan pesat pusat data, di samping projek yang mengukuhkan rantaian bekalan teknologi negara.

Ahli Lembaga World Digital Chamber dan Pengasas Chmiel Global Advisory, Georg Chmiel berkata Malaysia kini berada pada fasa penentu, dengan kepantasan pelaksanaan menjadi faktor utama untuk merealisasikan potensi penuh AI.

“Revolusi AI lebih pantas berbanding revolusi perindustrian terdahulu yang menggantikan keupayaan membuat keputusan dan membentuk semula kerja berasaskan pengetahuan.

“AI tidak serta-merta menghapuskan pekerjaan, sebaliknya mengubah tugasan sebelum membentuk semula peranan, selain mewujudkan jurang baharu antara individu yang mampu memanfaatkan AI dan yang tidak,” katanya.

Chmiel turut menegaskan kejayaan strategi seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030) bergantung kepada kepantasan pelaksanaan dasar dan penerimaan AI dalam perniagaan serta tenaga kerja.