
KUALA LUMPUR, 1 April -Persatuan Pengguna dan Ekonomi Keluarga Malaysia (MACFEA) menyambut baik seruan Perdana Menteri, memperkukuh ekonomi domestik melalui penggunaan barangan tempatan, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global termasuk konflik di Asia Barat.
- Sokongan barangan tempatan kurangkan kebergantungan import dan meningkatkan daya tahan ekonomi terhadap kejutan luaran.
- Sokongan mesti realistik dan bersyarat; produk tempatan perlu kompetitif dari segi harga dan kualiti.
- Intervensi menyeluruh diperlukan: kurangkan kos pengeluaran, beri insentif bersasar dan tingkatkan kecekapan pengedaran.
- Tekankan pendidikan pengguna, galakkan perbelanjaan bijak, beza keperluan dan kehendak serta bina simpanan kecemasan.
Exco MACFEA, Prof. Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, langkah itu mampu mengurangkan kebergantungan kepada import serta meningkatkan daya tahan ekonomi negara terhadap kejutan luaran.
“Pendekatan ini juga berpotensi membantu mengurangkan tekanan inflasi import, walaupun tidak dapat dihapuskan sepenuhnya dalam jangka pendek,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas beliau, sokongan terhadap barangan tempatan perlu dilaksanakan secara realistik dan bersyarat, dengan memastikan produk tempatan kekal kompetitif dari segi harga dan kualiti.
Dalam pada itu, usaha itu juga memerlukan intervensi yang lebih menyeluruh terutamanya dalam situasi peningkatan harga minyak global yang memberi kesan langsung kepada kos logistik dan rantaian bekalan.
Justeru, MACFEA turut menyarankan kerajaan untuk memperkukuh langkah mengurangkan kos pengeluaran, menyediakan insentif bersasar serta memastikan kecekapan sistem pengedaran bagi mengekang tekanan harga.
“Selain itu, pendidikan pengguna perlu diberi penekanan agar rakyat memahami kepentingan menyokong ekonomi domestik tanpa mengabaikan prinsip perbelanjaan bijak.
“Pengguna juga perlu membuat pertimbangan jelas antara keperluan dan kehendak dalam perbelanjaan harian, di samping mengamalkan disiplin kewangan seperti menabung bagi membina simpanan kecemasan sebagai langkah menghadapi ketidaktentuan ekonomi,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan memperkukuh ekonomi domestik melalui penggunaan barangan tempatan juga perlu dilaksanakan secara menyeluruh, seimbang dan berfokus kepada kesejahteraan pengguna, khususnya dalam suasana tekanan kos yang dipacu faktor geopolitik dan harga tenaga dunia.
MACFEA menegaskan komitmennya untuk terus menyokong dasar yang memperkukuh ekonomi keluarga dan kesejahteraan rakyat, selaras dengan aspirasi pembangunan negara yang inklusif dan mampan.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama memperkukuh ekonomi domestik ketika dunia, termasuk Malaysia, memasuki fasa lebih mencabar dan tidak menentu.
Beliau turut menyarankan rakyat mengutamakan barangan tempatan serta menyokong usahawan tempatan, dengan mengambil kira kekuatan dalaman sebagai benteng utama dalam mendepani krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.