
BUKIT MERTAJAM, 11 April – Lebih 100,000 usahawan wanita tempatan telah menerima manfaat pembiayaan perniagaan menerusi inisiatif Dana Ekonomi Usahawan Wanita (DEVI) di seluruh negara.
- DEVI menyediakan pembiayaan perniagaan khusus untuk memperkasakan usahawan wanita.
- Kerajaan perkenal empat strategi: tingkat produktiviti, kurangkan birokrasi, luaskan akses pembiayaan, buka akses pasaran.
- Banyak dana masih belum dimohon; usahawan digalakkan merebut peluang pembiayaan yang disediakan.
- Menteri dan agensi menggesa lebih ramai usahawan tampil memanfaatkan sokongan dan pembiayaan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, ia melibatkan pembiayaan kira-kira RM900 juta iaitu sebahagian daripada RM3 bilion yang diperuntukkan dalam memperkasakan usahawan wanita di negara ini.
Ia merupakan sebahagian daripada sasaran penyaluran pembiayaan sehingga RM15 bilion yang ditetapkan kerajaan bagi memperkasa perniagaan tempatan di negara ini.
Sehubungan itu, beliau menyarankan agar para usahawan merebut peluang manfaat pembiayaan yang disediakan kerajaan, kerana sebahagian besar dana masih belum dimohon setakat ini.
“Kami memperkenalkan empat strategi utama, iaitu membantu perniagaan meningkatkan produktiviti, mengurangkan proses birokrasi, memperluas akses kepada pembiayaan, serta membuka lebih banyak akses pasaran.
“Daripada keseluruhan RM15 bilion yang disasarkan untuk disalurkan, sebanyak RM3 bilion diperuntukkan khusus kepada usahawan wanita menerusi pelbagai agensi.
“Setakat ini, hampir RM900 juta telah disalurkan, memberi manfaat kepada lebih 100,000 usahawan wanita, namun masih terdapat banyak lagi dana yang tersedia.
“Justeru, saya menggalakkan lebih ramai usahawan tampil ke hadapan dan merebut peluang yang disediakan ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis ‘Heartrade Expo X Dewi Preview Session’ di sini, hari ini.