Krisis tenaga global: Rakyat disaran berhemat guna elektrik

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid/RTM

KUALA LUMPUR, 12 April -Rakyat Malaysia disaran mengamalkan penjimatan penggunaan elektrik sebagai langkah utama menghadapi potensi kenaikan kos tenaga susulan ketidaktentuan global, termasuk konflik geopolitik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kesan ketidaktentuan global dan kenaikan harga bahan api berpotensi meningkatkan kos penjanaan elektrik.
  • Struktur penjanaan masih bergantung kepada arang batu dan gas; kenaikan harga gas boleh naikkan tarif elektrik.
  • Penjimatan segera melalui kawalan penggunaan peranti berkuasa tinggi, pelaksanaan ToU dan peralihan jangka panjang ke tenaga boleh diperbaharui disyorkan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, situasi semasa berkemungkinan memberi kesan kepada harga bahan api, sekali gus meningkatkan kos penjanaan tenaga elektrik di negara ini.

Situasi itu mengambil kira struktur penjanaan elektrik Malaysia yang masih banyak bergantung kepada bahan api fosil seperti arang batu dan gas.

“Arang batu menyumbang sekitar 58.8 peratus daripada jumlah penjanaan elektrik, diikuti gas sebanyak 33.6 peratus. Justeru, peningkatan harga gas yang ketara ketika ini berkemungkinan membawa kepada kenaikan tarif elektrik pada masa hadapan,” katanya ketika dihubungi RTM.

Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan untuk pengguna lebih berhemat dalam penggunaan tenaga, terutama melibatkan peralatan elektrik berkuasa tinggi seperti penyaman udara.

Beliau menjelaskan, penggunaan suhu yang optimum serta kawalan masa penggunaan boleh mempengaruhi jumlah bil elektrik bulanan.

“Kita sedia maklum, peranti seperti penyaman udara merupakan antara penggunaan elektrik tertinggi. Justeru, tetapan suhu dan cara penggunaannya boleh mempengaruhi jumlah bil elektrik bulanan. Sekiranya tidak dipantau, pengguna berisiko berdepan peningkatan bil pada masa hadapan susulan kenaikan kos bahan api bagi penjanaan elektrik.

Justeru, rakyat Malaysia diharap dapat memerhatikan situasi ketika ini dan memanfaatkan pelbagai platform penjimatan bagi mengurangkan penggunaan elektrik,” jelasnya.

Selain itu, pengguna juga digalakkan memanfaatkan inisiatif seperti skim Time-of-Use (ToU), yang menawarkan kadar elektrik lebih rendah di luar waktu puncak.

Mengulas lanjut Dr Afzanizam berkata, terdapat pelbagai pendekatan untuk menangani cabaran krisis tenaga, namun penjimatan penggunaan elektrik kekal sebagai langkah paling segera dan praktikal untuk dilaksanakan oleh rakyat ketika ini.

Bagaimanapun, bagi tempoh jangka panjang, beliau mencadangkan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui seperti solar bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

“Walaupun ia mungkin memerlukan pelaburan awal yang agak tinggi, pulangan jangka panjang mampu mengurangkan beban kos berkaitan bil elektrik. Terdapat pelbagai kaedah untuk menangani isu ini, namun buat masa ini, penjimatan penggunaan elektrik kekal sebagai langkah utama dalam menghadapi krisis semasa,” katanya lagi.