konflik Asia Barat : Pelabur disaran beralih kepada sektor defensif- Penyelidik

Ketua Penyelidikan MBSB Research, Imran Yassin

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Pelabur disaran agar beralih kepada sektor defensif bagi melindungi pelaburan, dalam keadaan pasaran yang tidak menentu susulan krisis di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pendekatan defensif melindungi modal dan mengekalkan pulangan lebih stabil dalam pasaran tidak menentu.
  • Sektor defensif merangkumi utiliti dan penjagaan kesihatan, yakni pendapatan kurang terjejas oleh keadaan ekonomi.
  • Malaysia boleh mengimbangi subsidi melalui cukai hasil minyak dan dividen Petronas; subsidi bersasar mengurangkan beban fiskal berbanding subsidi terbuka.

Ketua Penyelidikan MBSB Research, Imran Yassin berkata, pendekatan itu penting bagi melindungi modal pelaburan sambil mengekalkan pulangan yang lebih stabil.

“Selagi tempoh konflik itu tidak dapat dipastikan, kami berpendapat pelabur perlu memberi tumpuan kepada apa yang dikenali sebagai sektor defensif, bukan sektor pertahanan.

“Sektor defensif merujuk kepada sektor yang pendapatannya kurang terjejas oleh keadaan ekonomi semasa, antaranya sektor utiliti, penjagaan kesihatan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita RTM.

Mengulas mengenai ketidaktentuan harga minyak mentah global, beliau berkata Malaysia masih berupaya mengimbangi antara peningkatan subsidi dan usaha melindungi kepentingan rakyat, bergantung kepada paras harga minyak global.

”Jika harga sekitar AS$60, AS$70 atau AS$80 setong, mungkin ia masih boleh diimbangi. Ini kerana walaupun kerajaan memberikan subsidi, kerajaan juga memperoleh pendapatan daripada peningkatan cukai hasil minyak mentah serta dividen daripada Petronas,” katanya lagi.

Tambah beliau, pelaksanaan subsidi bersasar yang sedang dilaksanakan kerajaan juga berupaya membantu mengurangkan beban fiskal berbanding pendekatan subsidi terbuka sebelum ini.