Komunikasi strategik jadi teras sokong pertumbuhan projek

FOTO HIASAN/RTM

KUALA LUMPUR, 19 FebruariProfesional perhubungan awam (PR) dan komunikasi digesa meningkatkan ketangkasan komunikasi bagi memastikan organisasi dapat mengurus krisis serta melaksanakan projek berimpak tinggi secara berkesan dan strategik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Profesional PR mesti bersifat dinamik, tangkas dan proaktif dalam respons serta komunikasi sepanjang kitaran projek.
  • Kerangka komunikasi berasaskan kerelevanan, kepekaan respons dan ketahanan panduan penting untuk adaptasi ketangkasan komunikasi.
  • Pengukuhan kesedaran situasi, penjajaran dinamik dan komunikasi berteraskan kepercayaan menyokong pelaksanaan projek berimpak tinggi.

Pakar Komunikasi Strategik Zeta M Consulting, Zuraida Malek menegaskan sifat projek yang dinamik menuntut profesional perhubungan awam dan komunikasi supaya turut bersifat dinamik, tangkas serta proaktif dalam memberi respons dan berkomunikasi.

“Projek telah menjadi komponen teras bagi kebanyakan syarikat dan organisasi merentas pelbagai industri.

“Syarikat tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada operasi biasa untuk kekal relevan dan berjaya dalam jangka panjang,” kata Zuraida dalam kenyataan.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan penyelarasan projek dapat dilaksanakan secara masa nyata, termasuk dalam aspek penglibatan pihak berkepentingan.

Tambah beliau kerangka utama komunikasi iaitu kerelevanan, kepekaan respons dan ketahanan boleh dijadikan kerangka dinamik serta proaktif sebagai panduan awal kepada organisasi untuk mengadaptasi ketangkasan komunikasi.

“Ketangkasan komunikasi bukan sesuatu yang hanya diaktifkan ketika krisis berlaku, tetapi perlu diterapkan jauh sebelum krisis tiba.

“Profesional PR dan komunikasi adalah juara sebenar untuk memacu inisiatif komunikasi secara strategik dan berkesan,” tambah beliau.

Menurutnya, pendekatan itu boleh dilaksanakan melalui pengukuhan kesedaran situasi, kepekaan teragih, penjajaran dinamik serta komunikasi yang berteraskan kepercayaan.

Untuk rekod, laporan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menunjukkan Malaysia meluluskan sebanyak 6,700 projek merentasi sektor ekonomi utama pada tahun 2024, iaitu jumlah tertinggi pernah direkodkan.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025 pula, Malaysia mencatatkan RM285.2 bilion nilai pelaburan diluluskan, meningkat 13.2 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, melibatkan 4,874 projek merentasi pelbagai sektor.

Perkembangan itu sekali gus menggambarkan kepentingan komunikasi strategik dalam menyokong pelaksanaan projek sebagai pemacu utama pembangunan negara.