
KUALA LUMPUR, 2 Mac – Konflik Asia Barat telah mencetuskan ketidaktentuan aliran perdagangan dan pasaran kewangan global.
- Peluang bagi pelabur mengumpul saham berwajaran tinggi yang kini diniagakan pada penilaian lebih menarik selepas tekanan jualan.
- Minat belian meningkat untuk syarikat minyak dan gas serta syarikat berkaitan komoditi sebagai lindung nilai.
- Konflik dilihat bersifat sementara, mengurangkan risiko penglibatan jangka panjang kuasa besar yang terhad oleh isu dalaman.
- Rakuten Trade kekal optimis, mengekalkan sasaran FBM KLCI 1,810 mata dengan jangkaan pasaran tempatan tahan uji.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng memberitahu, sebarang ketegangan geopolitik lazimnya turut mempengaruhi sentimen pelabur.
Bagaimanapun, situasi semasa dilihat sebagai kesempatan untuk pelabur meningkatkan pembelian saham terutamanya saham berwajaran tinggi (blue chips) yang kini diniagakan pada penilaian lebih menarik susulan tekanan jualan.
”Kami percaya ini akan menjadi peluang kepada para pelabur untuk mengumpul saham blue chip berikutan penilaian yang kini lebih murah.
”Selain itu, kami juga melihat minat belian tambahan dalam syarikat minyak dan gas (O&G) serta syarikat berkaitan komoditi,” katanya kepada RTM.
Beliau menjangkakan konflik itu hanya bersifat sementara, dengan inflasi domestik yang tinggi dan beban beban hutang Amerika Syarikat (AS) yang mencecah AS$38.8 trilion mengehadkan kemampuan Washington untuk terlibat dalam peperangan berpanjangan.
Rakuten Trade masih mengekalkan sasaran Indeks FBM KLCI pada paras 1,810 mata, dengan jangkaan pasaran tempatan kekal berdaya tahan, walaupun berdepan ketidaktentuan luaran.