Kerjasama MOF-KPDN pastikan manfaat pengukuhan ringgit dinikmati rakyat

FOTO BERNAMA

BALIK PULAU, 15 Februari – Kementerian Kewangan (MOF) akan terus bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan manfaat pengukuhan ringgit dapat diterjemahkan kepada penurunan harga barang pengguna.

RINGKASAN BERITA AI
  • MOF bekerjasama dengan KPDN untuk menterjemah pengukuhan ringgit kepada penurunan harga barang pengguna.
  • Kerajaan sedang merangka mekanisme terbaik agar manfaat pengukuhan ringgit disalurkan kepada rakyat.
  • Bukan semua harga akan turun segera kerana kenaikan kos terdahulu memerlukan keseimbangan struktur kos dan pasaran.
  • Pengukuhan ringgit dan prestasi ekonomi memperkukuh keyakinan, kuasa beli, serta menyokong inisiatif sosial bersasar.

Menteri Kewangan Il Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata ringgit mengukuh kira-kira 14 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) mulai awal tahun lepas dan meningkat sekitar 6.5 hingga 7.0 peratus berbanding mata wang utama lain.

“Ini memberi kesan positif kepada kos import barang ke negara ini, sekali gus membuka ruang untuk penurunan harga seterusnya (manfaat pengukuhan ringgit) disalurkan kepada pengguna,” katanya pada sidang media selepas sesi turun padang Kampung Angkat MADANI YB Menteri Kewangan II di Kampung Pulau Betong di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan kini menganalisis untuk merangka mekanisme terbaik bersama-sama KPDN bagi membolehkan rakyat menikmati manfaat daripada ringgit yang mengukuh.

Bagaimanapun, tidak semua harga barang akan turun berikutan peningkatan kos telah berlaku sejak beberapa tahun lepas, justeru keseimbangan perlu dicapai antara struktur kos sedia ada dan keadaan semasa pasaran, katanya.

Mengulas prestasi ekonomi semasa, Amir Hamzah berkata data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan ekonomi Malaysia berada pada kedudukan yang kukuh, dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.3 peratus pada suku keempat 2025 dan 5.2 peratus bagi setahun penuh.

Beliau berkata prestasi itu adalah antara yang tertinggi dalam kalangan negara ASEAN.

Pencapaian ekonomi turut mencerminkan keberkesanan usaha kerajaan dalam melaksanakan pembaharuan ekonomi menyeluruh, termasuk sokongan perlindungan sosial dan intervensi bersasar, dengan matlamat memastikan limpahan pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati rakyat pelbagai lapisan, katanya.

Amir Hamzah berkata pengukuhan ringgit dan prestasi ekonomi yang lebih baik itu memberi lebih keyakinan kepada rakyat, termasuk dari segi perbelanjaan dan mobiliti, yang disifatkan sebagai petunjuk peningkatan kuasa beli serta kestabilan ekonomi negara.

Bagaimanapun, keutamaan kerajaan adalah usaha jangka masa panjang untuk mengukuhkan ekonomi, menarik pelaburan berkualiti serta memastikan manfaat pembangunan dinikmati rakyat melalui inisiatif bersasar seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA). -BERNAMA