Kerajaan perkukuh struktur ekonomi hadapi cabaran global

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir (kanan) ditemubual pengacara Sayed Munawar Sayed Sayed Munawar Sayed Mustar (kiri) dalam program Bicara Naratif di Angkasapuri Kota Media/foto RTM

KUALA LUMPUR , 27 Januari – Kerajaan melihat perkembangan geopolitik global sebagai antara faktor penting yang perlu diberi perhatian tahun ini serta yakin keupayaan ekonomi domestik yang kukuh akan terus menyokong kestabilan dan kemajuan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkukuh struktur ekonomi dengan fokus pada industri pertumbuhan dan bernilai tinggi sebagai teras pertumbuhan masa depan.
  • Meningkatkan kompleksiti ekonomi untuk memastikan daya tahan dan daya saing jangka panjang negara.
  • Strategi 2026 menekankan pertumbuhan mampan, kawalan inflasi dan penyasaran subsidi yang berkesan.
  • Pelaburan berterusan dalam kesihatan, pendidikan dan mobiliti sosial bagi meningkatkan kebajikan rakyat.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, tumpuan negara ketika ini adalah memperkukuh struktur ekonomi dengan memberi penekanan terhadap industri pertumbuhan dan bernilai tinggi sebagai teras utama pertumbuhan masa hadapan.

Menurut beliau, langkah tersebut turut disokong dengan usaha meningkatkan tahap kompleksiti ekonomi negara bagi memastikan daya tahan jangka panjang.

Sekali gus membolehkan Malaysia kekal berdaya saing dan lebih bersedia menghadapi perubahan persekitaran ekonomi global.

“Fokus ini penting supaya ekonomi negara tidak terdedah secara mendadak kepada kejutan luar, di samping membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat,” katanya selepas menjadi tetamu dalam program Bicara Naratif di Angkasapuri, Kota Media.

Sementara itu, menurut beliau, strategi ekonomi 2026 memberi tumpuan kepada pertumbuhan mampan yang menitikberatkan peningkatan pendapatan rakyat , kawalan inflasi serta penyasaran subsidi yang berkesan.

Kerajaan menyasarkan gaji pekerja mencecah 40 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030, dengan inflasi dikawal 2 hingga 3 peratus bagi memastikan kestabilan kos sara hidup.

Pada masa sama, aspek kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan melalui pelaburan berterusan dalam sektor kesihatan, pendidikan dan mobiliti sosial, sejajar dengan prinsip kelestarian dan kemampanan ekonomi negara.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan