
KUALA LUMPUR, 5 Mac – Keputusan Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus dilihat sebagai langkah menyokong momentum pertumbuhan ekonomi domestik di tengah ketidaktentuan global.
- BNM kekalkan OPR pada 2.75% untuk menyokong momentum pertumbuhan ekonomi domestik.
- Keputusan berdasarkan penilaian data semasa bagi mencapai sasaran pertumbuhan KDNK tahun ini.
- Persekitaran luar tidak menentu disebabkan ketegangan geopolitik dan perubahan dasar perdagangan global.
- Pendekatan berhati-hati bertujuan memastikan kestabilan inflasi dan aliran modal terurus.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM itu dibuat berdasarkan penilaian data semasa bagi memastikan Malaysia kekal berada di landasan untuk mencapai sasaran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.
Menurutnya, walaupun eksport negara menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, persekitaran luar kekal tidak menentu susulan ketegangan geopolitik serta perubahan dasar perdagangan global.
“Walaupun terdapat perubahan pada kadar tarif yang dikenakan Amerika Syarikat, Malaysia masih berada dalam kedudukan yang kukuh dari segi eksport, khususnya dalam sektor semikonduktor yang terus mendapat manfaat daripada pertumbuhan pesat industri teknologi global serta peningkatan permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Antara faktor yang diberi perhatian termasuk peningkatan tarif perdagangan oleh Presiden Amerika, Donald Trump serta konflik di Asia Barat yang melibatkan Israel-Iran yang berpotensi memberi kesan kepada inflasi dan kestabilan ekonomi global.
Dalam masa sama, perkembangan dasar monetari global, khususnya hala tuju kadar faedah oleh Rizab Persekutuan turut menjadi pertimbangan penting kerana ia mempengaruhi pergerakan nilai ringgit serta aliran modal.
Secara keseluruhannya, langkah mengekalkan OPR pada 2.75 peratus mencerminkan pendekatan berhati-hati dalam memastikan kestabilan inflasi serta mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negara.