Kementerian Ekonomi pantau rapi indikator utama, nilai impak krisis tenaga global

Foto fail

KUALA LUMPUR, 12 April -Kementerian Ekonomi akan terus memantau rapi indikator ekonomi utama bagi menilai kedudukan semasa ekonomi, khususnya dalam menghadapi krisis tenaga global susulan konflik Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keputusan dasar berasaskan data dan berpaksikan rakyat untuk memastikan ketahanan ekonomi serta melindungi kepentingan rakyat.
  • Pemantauan indikator seperti harga minyak Brent, prestasi FBM KLCI dan nilai ringgit bagi menilai risiko ekonomi.
  • Pasaran ekuiti domestik kekal stabil, aliran modal seimbang dan keyakinan pelabur terus teguh.
  • Skim kawalan harga mengekalkan kestabilan barangan makanan utama, mengawal inflasi dan melindungi perbelanjaan harian rakyat.

Menerusi hantaran di media sosial, kementerian itu menjelaskan berdasarkan pemantauan tersebut langkah yang tepat dan responsif akan diambil bagi mengurus risiko, memastikan ketahanan ekonomi serta paling utama melindungi kepentingan rakyat.

”Keutamaan kekal kepada keputusan berasaskan data dan berpaksikan rakyat, agar ekonomi negara terus berdaya tahan dalam persekitaran yang mencabar,” jelas kementerian itu.

Selain pemantauan terhadap trend harga minyak mentah Brent, indikator utama yang disenaraikan termasuklah prestasi indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dan ringgit.

”Pasaran ekuiti domestik kekal stabil, dengan aliran modal kekal seimbang serta keyakinan pelabur kekal teguh.

”Mata wang tempatan turut menunjukkan kestabilan berbanding dolar Amerika Syarikat disokong asas makroekonomi yang kukuh. Ini menjadikan harga barangan import lebih terkawal selain mengurangkan tekanan inflasi,” katanya.

Berdasarkan harga barangan makanan terpilih, terdapat trend turun naik dalam julat terkawal dengan trend harga keseluruhan kekal stabil tanpa lonjakan mendadak.

Skim kawalan harga turut memastikan harga bahan makanan utama tempatan kekal terkawal dan mengelakkan perbelanjaan harian rakyat terjejas.