KDNK suku keempat 2025 dijangka catat pertumbuhan positif

FOTO RTM

JOHOR BAHRU, 16 Januari – Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat tahun 2025, dijangka mencatat pertumbuhan positif.

RINGKASAN BERITA AI
  • KDNK suku keempat 2025 dijangka mencatat pertumbuhan positif.
  • Keadaan geopolitik seperti ketegangan AS-Iran meningkatkan risiko luar kepada ekonomi.
  • Perlu perkuat kompleksiti ekonomi dan daya tahan untuk kurangkan pendedahan risiko.
  • Strategi kerajaan: tingkatkan lantai dan siling ekonomi serta tatakelola Rancangan Malaysia Ke-13.

Angka rasmi KDNK itu akan diumumkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, hari ini.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, meskipun ekonomi global berdepan pelbagai cabaran, perkembangan tersebut membuktikan ekonomi negara kekal berada pada landasan yang tepat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tahap kompleksiti ekonomi negara perlu terus diperkukuhkan bagi mengurangkan pendedahan kepada risiko geopolitik luar, termasuk ketegangan yang sedang berlaku antara Amerika Syarikat dan Iran.

“Keadaan geopolitik kebanyakannya berada di luar kawalan kita. Namun, daripada segi persiapan negara, kita perlu memperkukuh struktur ekonomi agar lebih berdaya tahan.

“Bukan sahaja dalam usaha menarik pelaburan, kita juga perlu meneliti aspek perbelanjaan rakyat serta meningkatkan tahap kompleksiti ekonomi negara.

“Dengan itu, sebarang ketidaktentuan di peringkat global tidak akan memberi kesan langsung atau mendadak terhadap keadaan ekonomi Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan Negeri Johor 2026 di Jabatan Pendidikan Negeri Johor di sini.

Menurutnya, antara strategi utama kerajaan bagi memperkukuh ekonomi negara termasuk meningkatkan lantai dan siling ekonomi serta memastikan tatakelola yang baik dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-13.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan