KUALA LUMPUR, 3 Januari – Kadar antara bank jangka pendek dijangka kekal stabil minggu depan, disokong oleh operasi berterusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyerap lebihan mudah tunai daripada sistem kewangan.
- BNM terus jalankan operasi menyerap lebihan tunai melalui tender repo berbalik minggu ini.
- Kadar antara bank jangka pendek dijangka kekal stabil minggu depan susulan operasi BNM.
- Lebihan mudah tunai konvensional meningkat kepada RM38.89 bilion minggu ini.
- Lebihan mudah tunai Islam naik kepada RM24 bilion, dan MYOR-i dicatat pada 2.75 peratus.
Pada minggu ini, bank pusat itu melaksanakan operasi harian melalui tender repo berbalik dan tender repo berbalik Islam untuk mengurangkan lebihan dana dalam sistem kewangan.
Bagi asas mingguan, lebihan mudah tunai dalam sistem konvensional naik kepada RM38.89 bilion pada Jumaat daripada RM36.30 bilion pada minggu sebelumnya manakala lebihan mudah tunai dalam sistem Islam meningkat kepada RM24 bilion daripada RM17.40 bilion sebelum ini.
Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) sebanyak 2.75 peratus pada 30 Dis 2025. -BERNAMA