Jualan kenderaan Januari 2026 meningkat 27 peratus – MAA

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 16 Februari – Jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) sektor automotif Malaysia pada Januari 2026 meningkat sebanyak 27 peratus kepada 64,298 unit berbanding 50,449 unit pada bulan sama 2025.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jualan kenderaan penumpang meningkat 28 peratus, menyumbang sebahagian besar TIV Januari 2026.
  • Jualan kenderaan komersial naik 15 peratus berbanding tahun sebelumnya.
  • Jualan menurun 29 peratus berbanding Disember 2025 akibat pembelian awal pada bulan tersebut.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menerusi kenyataan memaklumkan, jumlah TIV disumbangkan kesan limpahan daripada pelancaran model baharu pada penghujung 2025.

“Bagi Januari 2026, jualan kenderaan penumpang naik 28 peratus dengan merekodkan TIV sebanyak 60,369 unit berbanding 47,019 unit pada Januari 2025.

“Manakala, sejumlah 3,929 unit kenderaan komersial terjual dengan peningkatan sebanyak 15 peratus daripada 3,430 unit bagi tempoh sama,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, perbandingan secara bulanan menunjukkan penurunan sebanyak 29 peratus daripada jualan 90,716 unit pada Disember 2025, susulan impak pembelian awal pada bulan tersebut.

Bagi pengeluaran pula, sebanyak 60,866 unit dihasilkan merangkumi 57,367 kenderaan penumpang dan 3,499 kenderaan komersial daripada 57,450 unit setahun yang lepas.

MAA memaklumkan, momentum jualan untuk bulan Februari dijangka kekal perlahan disebabkan oleh tempoh bekerja yang singkat berikutan cuti Tahun Baharu Cina.