Insentif pengeluaran getah diaktifkan di Sabah, Sarawak bagi Mac 2026

Insentif itu tidak diaktifkan di Semenanjung berikutan harga purata yang lebih tinggi

KUALA LUMPUR, 1 April – Insentif Pengeluaran Getah (IPG) telah diaktifkan untuk pekebun kecil getah di Sabah dan Sarawak bagi Mac 2026 susulan harga purata ladang bagi getah sekerap di kedua-dua negeri berada pada paras lebih rendah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Harga purata ladang getah sekerap: Sabah RM2.95/kg, Sarawak RM2.85/kg, di bawah ambang RM3.00/kg.
  • Insentif tidak diaktifkan di Semenanjung kerana harga purata lebih tinggi iaitu RM3.30/kg.
  • Kadar IPG: Sabah 5 sen/kg (KGK50) dan 10 sen/kg (KGK100); Sarawak 15 sen/kg dan 30 sen/kg; lateks 90 sen/kg.

Kenyataan Lembaga Getah Malaysia (LGM) menyebut, harga purata ladang bagi getah sekerap pada Mac ialah RM2.95 sekilogram (kg) di Sabah dan RM2.85 sekilogram di Sarawak, iaitu bawah paras ambang RM3.00 sekilogram yang diperlukan untuk mengaktifkan insentif.

Bagaimanapun, insentif itu tidak diaktifkan di Semenanjung berikutan harga purata yang lebih tinggi, iaitu RM3.30 sekilogram.

Menurut LGM, kadar IPG bagi getah sekerap di Sabah ditetapkan pada lima sen sekilogram bagi kandungan getah kering (KGK) 50 peratus dan 10 sen sekilogram bagi KGK 100 peratus, manakala di Sarawak, masing-masing 15 sen dan 30 sen sekilogram.

Kadar IPG bagi lateks pula ditetapkan pada 90 sen sekilogram bagi lateks dengan KGK 100 peratus dan akan diaktifkan serentak dengan insentif getah sekerap.

Pekebun kecil yang layak di Sabah dan Sarawak akan menerima bayaran IPG bagi tempoh 1 hingga 30 April 2026, berdasarkan pengeluaran getah bagi Mac 2026.