Inflasi Malaysia kekal sederhana, pengguna terus berbelanja

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Februari – Inflasi Malaysia meningkat kepada 1.6 peratus pada Januari 2026, namun masih berada pada paras sederhana dan terkawal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inflasi kekal sederhana dan terkawal meskipun meningkat pada Januari 2026.
  • Peningkatan dipengaruhi faktor bermusim dan fasa kedua kenaikan gaji penjawat awam.
  • Penurunan kos pengangkutan dan bahan api membantu imbang kenaikan perumahan serta makanan.
  • Inflasi dijangka stabil kembali pada julat sederhana selepas musim perayaan dan Ramadan.

Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, peningkatan itu dipengaruhi faktor bermusim serta pelaksanaan fasa kedua kenaikan gaji penjawat awam yang merangsang permintaan domestik.

Beliau menjangkakan kadar inflasi boleh meningkat antara 1.9 hingga 2.3 peratus pada Februari dan Mac susulan peningkatan perbelanjaan pengguna bersempena musim perayaan dan Ramadan.

Bagaimanapun, kadar inflasi dijangka kembali stabil pada julat sederhana antara 1.6 hingga 2.0 peratus selepas tekanan bermusim berakhir.

Menurut beliau, penurunan inflasi dalam kumpulan pengangkutan serta harga bahan api membantu mengimbangi peningkatan kos dalam kumpulan perumahan serta makanan dan minuman.

“Penurunan inflasi dalam sektor pengangkutan serta kos bahan api merupakan perkembangan positif kerana ia mampu mengimbangi kenaikan harga dalam sektor perumahan dan makanan serta minuman.

Sekurang-kurangnya keadaan ini dapat memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat dalam mendepani peningkatan kos sara hidup,” katanya kepada RTM.

Secara keseluruhan, trend inflasi bagi 2026 dijangka kekal sederhana selepas berakhirnya faktor tekanan bermusim pada suku pertama tahun ini.