Inflasi 2026 kekal sederhana disebalik cabaran komoditi global

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 31 Mac – Inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana pada 2026, walaupun harga komoditi global diunjurkan mengalami turun naik ketara berikutan konflik geopolitik di Asia Barat, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Inflasi keseluruhan dijangka purata 1.5 hingga 2.5 peratus, menunjukkan trajektori inflasi lebih terkawal.
  • Kadar pertukaran lebih kukuh dan langkah dasar dalam negeri dijangka mengekang kenaikan harga import.
  • Risiko ialah kenaikan kos input susulan harga komoditi tinggi, terutama makanan, manakala permintaan global lemah boleh meredakan inflasi.

Jelas bank pusat, inflasi keseluruhan dijangka berada pada purata antara 1.5 peratus hingga 2.5 peratus untuk tahun ini.

BNM dalam Laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2025 yang dikeluarkan hari ini memaklumkan, kadar pertukaran yang lebih kukuh dijangka membantu mengekang kenaikan harga import.

“Langkah-langkah dasar dalam negeri juga akan membantu mengurangkan kesan tekanan kos global terhadap harga dalam negeri.

“Sehubungan itu, tekanan kos yang dihadapi oleh syarikat dijangka kekal terkawal, dengan amalan penetapan harga yang secara amnya terus berhati-hati dalam segmen runcit dan perkhidmatan,” menurut kenyataan itu.

Secara keseluruhan, perkembangan itu menunjukkan trajektori inflasi yang secara relatifnya lebih terkawal sepanjang tahun.

Sementara itu, inflasi teras dijangka berpurata antara 1.8 peratus hingga 2.3 peratus pada 2026, dengan jangkaan ekonomi akan terus berkembang sejajar dengan potensi, tanpa menyebabkan tekanan inflasi ketara yang didorong oleh permintaan.

”Bagaimanapun, risiko kenaikan inflasi boleh berpunca daripada peningkatan kos input susulan harga komoditi global yang tinggi.

”Dalam senario tersebut, sektor yang lebih sensitif kepada harga import seperti makanan, boleh berdepan dengan tekanan kos yang lebih tinggi, manakala sebahagian pengeluar dan peruncit juga mungkin mengambil kesempatan untuk menaikkan harga,” tambah kenyataan itu.

Menurut bank pusat, dari sudut risiko penurunan inflasi, permintaan global yang lebih lemah boleh menjejaskan aktiviti dalam negeri manakala harga komoditi global yang lebih rendah boleh mengurangkan kos import dan meredakan tekanan inflasi.

“Perkembangan kadar pertukaran juga akan mempengaruhi tekanan kos import, yang seterusnya boleh memberikan kesan kepada inflasi.

“Pada 2026, keputusan dasar monetari akan terus berpandukan penilaian Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) terhadap risiko kepada prospek inflasi dan pertumbuhan Malaysia,” menurut kenyataan itu.