
KUALA LUMPUR, 12 Mac – Harga minyak kembali melonjak mencecah sehingga AS$101 setong pada Khamis walaupun Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) mengumumkan persetujuan untuk pelepasan rizab minyak strategik terbesar mereka.
- Gangguan perkapalan di Selat Hormuz tingkatkan kebimbangan kejutan bekalan, mendorong kenaikan harga minyak.
- 32 negara anggota IEA sebulat suara melepaskan 400 juta tong rizab kecemasan, terbesar dalam sejarah.
- Negara anggota G7 menyatakan keterbukaan untuk melepaskan rizab minyak kecemasan susulan impak ekonomi perang Iran.
- Brent dan WTI mencatat kenaikan; Brent AS$95.77 naik 4.12%, WTI AS$90.35 naik 3.55%.
Menurut laporan portal tenaga Oilprice.com, lonjakan harga itu didorong gangguan perkapalan di Selat Hormuz yang meningkatkan kebimbangan terhadap kejutan bekalan yang berpanjangan, sekali gus mengimbangi sebarang tekanan penurunan harga daripada pelepasan rizab minyak IEA.
32 negara anggota IEA sebulat suara untuk melepaskan 400 juta tong minyak daripada rizab kecemasan yang merupakan terbesar dalam sejarah.
Sentimen sama turut disuarakan negara anggota Kumpulan Tujuh (G7) yang menyatakan keterbukaan untuk melepaskan rizab minyak kecemasan susulan kesan ekonomi daripada perang Iran.
Beberapa jam selepas mencatat paras harian tertinggi, Brent kembali berlegar antara AS$95 setong hingga AS$99 setong.
Ketika berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent meningkat 4.12 peratus kepada AS$95.77, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) didagangkan pada harga AS$90.35 setong, meningkat 3.55 peratus.