Hala tuju baharu PADU akan diumum hujung April 2026

Foto fail

PUTRAJAYA, 31 Mac -Hala tuju baharu mengenai Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka diumumkan pada penghujung April ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hala tuju PADU diselaraskan dengan keperluan RMK13 serta skop pelaksanaan diperluas.
  • Pelaksanaan kini berpandukan sistem sedia ada untuk elak kekeliruan dan pastikan fokus pelaksanaan dasar semasa.
  • Langkah baharu bertujuan memanfaatkan PADU secara menyeluruh dalam penggubalan dasar negara tanpa gangguan operasi.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata hala tuju sistem berasaskan data itu akan diselaraskan dengan keperluan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), selain melibatkan skop pelaksanaan yang lebih meluas.

“Penggunaan sistem PADU ini penting untuk memastikan keputusan kerajaan berpandukan data. Ia bukan sekadar menyokong keputusan yang telah dibuat sebelum ini, tetapi juga sebagai asas kepada langkah ke hadapan.

“Sebab itu, pelan hala tuju PADU akan kita kongsikan, berkemungkinan pada penghujung bulan April ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Seminar Pemetaan Peluang Strategik Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) melalui RMK13, di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata pelaksanaan PADU ketika ini masih berpandukan sistem sedia ada bagi mengelakkan sebarang kekeliruan, selain memastikan fokus kekal kepada pelaksanaan dasar semasa.

Pendekatan itu, katanya, penting bagi menjamin kelancaran pelaksanaan tanpa gangguan sepanjang proses penambahbaikan sistem dijalankan.

Sebelum ini, beliau memaklumkan hala tuju baharu PADU akan diumumkan sebelum Hari Raya Aidilfitri, susulan sistem itu yang dilihat kurang mendapat perhatian sejak kebelakangan ini.

Langkah terbaharu itu akan memastikan PADU dapat dimanfaatkan secara lebih menyeluruh, khususnya dalam penggubalan dasar negara.

Untuk rekod, sistem PADU telah mencatatkan sebanyak 30.8 juta profil, sekali gus menjadikannya antara pangkalan data terbesar milik kerajaan.