FMM cadang moratorium, bantu PMKS hadapi ketidaktentuan ekonomi

Foto hiasan

PETALING JAYA, 17 Mac Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM) memohon agar diberi penangguhan moratorium pinjaman bank selama enam bulan bagi membantu perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) menghadapi ketidaktentuan ekonomi semasa, termasuk kesan ketegangan di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • FMM anggap moratorium sebagai langkah proaktif memberi masa dan ruang kepada PKS tingkatkan kesiapsiagaan serta kecekapan operasi.
  • Moratorium berperanan sebagai langkah pengurusan krisis, penangguhan sementara bukan penghapusan hutang dan perlu dibayar selepas tamat.
  • Pengalaman COVID-19 tunjuk pentingnya utamakan gaji pekerja walaupun kilang tutup dan operasi terhenti.
  • FMM cadang tubuh Pasukan Petugas Khas Krisis Eksport untuk tangani kesan konflik Asia Barat dan gangguan Selat Hormuz.

Presiden Emeritus FMM, Tan Sri Datuk Soh Thian Lai, berkata cadangan itu dilihat sebagai langkah proaktif untuk memberi masa dan ruang kepada PKS untuk meningkatkan kesiapsediaan dan kecekapan operasi mereka.

“Ketidaktentuan ini melibatkan kenaikan harga tenaga, kenaikan harga makanan, dan kesan perniagaan di seluruh dunia.

“Konflik yang tersetus bukan sahaja memberi impak kepada Asia Barat, tetapi turut menjejaskan pasaran Eropah, Amerika, dan Asia. Semua ini saling berkaitan, jadi kami sangat prihatin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media Tinjauan Keadaan Perniagaan FMM bagi Separuh Kedua 2025 di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok, berkata, inisiatif moratorium itu juga berperanan sebagai langkah pengurusan krisis bagi industri.

Pelaksanaan moratorium berkenaan tidak bermakna bayaran tidak perlu dibuat, malah ia hanya memberi masa penangguhan dan perlu dijelaskan selepas tempoh moratorium berakhir.

“Semasa COVID-19, kerajaan kemudian memperkenalkan moratorium untuk menangguhkan pembayaran ansuran pinjaman, yang pada masa itu merupakan satu krisis sebenar dan langkah pengurusan bencana.

“Apabila ekonomi ditutup, kilang tidak boleh beroperasi. Malah, walaupun terdapat barangan sedia ada yang ingin dihantar, tiada kemudahan logistik tersedia. Namun, gaji pekerja tetap perlu dibayar, jadi keutamaan jelas adalah gaji pekerja,” katanya.

Mengulas lanjut, FMM juga mencadangkan penubuhan Pasukan Petugas Khas Krisis Eksport bagi menangani kesan konflik di Asia Barat serta gangguan di Selat Hormuz terhadap eksport pembuatan.

Usaha itu dapat membolehkan agensi kerajaan dan pihak industri bekerjasama untuk menilai situasi, berkongsi maklumat serta menangani cabaran operasi pengeksport dan syarikat penghantaran.