FAMA sasar 128 usahawan agromakanan tembusi pasaran antarabangsa

FOTO BERNAMA


KUALA LUMPUR, 16 Februari Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), menyasar mengangkat 128 syarikat usahawan agromakanan tempatan menembusi pasaran antarabangsa menerusi Program Global Export (GLOBEX) sepanjang tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • FAMA melaksanakan empat siri GLOBEX untuk persediaan rapi pengantarabangsaan produk agro tempatan.
  • Siri pertama fokus ke pasaran United Kingdom dengan 32 peserta dan sokongan Maybank serta EMC.
  • Sasaran pasaran seterusnya termasuk Amerika Syarikat, China dan Jepun untuk kembangkan pembekalan eksport.

Pengerusinya, Aminuddin Zulkipli berkata empat siri GLOBEX dirangka sepanjang tahun ini sebagai persediaan rapi mengangkat produk agro tempatan ke pasaran luar.

Ketika ini, 32 syarikat usahawan agromakanan dari seluruh negara menyertai siri pertama GLOBEX yang memberi fokus khusus kepada pasaran United Kingdom (UK).

“Usahawan menyediakan bahan-bahan asas, termasuk produk FAMA, manakala Maybank akan memfasilitasi apa-apa keperluan.

“Insya-Allah, kerjasama ini akan membuahkan hasil untuk kita, bukan sekadar menyediakan pameran di peringkat antarabangsa, tetapi kita juga mampu menandatangani perjanjian bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kursus Pemerkasaan Eksport dan Keusahawanan Global Siri 1: GLOBEX UK di sini.

Tiga lagi siri bakal dilaksana melibatkan pasaran Amerika Syarikat, China dan Jepun.

Menerusi kolaboratif bersama Export Management Company (EMC), 42 usahawan tempatan membabitkan 244 unit simpanan stok (SKU) produk berjaya menembusi pasaran UK, termasuk produk jenama Agromas yang kini dipasarkan di Halal Oriental Market Queensway.